Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang di dalamnya diturunkan Al
Quran. Bulan yang diturunkan rahmat dan berkat. Bulan diampunkan dosa.
Bulan yang kebaikannya diganda-gandakan Tuhan. Bulan yang didalamnya
berlaku Lailatul Qadar. Yang mana siapa yang dapat beribadah tepat pada
malam Lailatul Qadar seolah-olah dipanjangkan umur. Seolah-olah mereka
pernah beribadah selama lebih 1000 bulan, yakni lebih dari 83 tahun.
Inilah antara Rahmat Tuhan kepada orang yang bertaqwa atau yang
bercita-cita menjadi orang bertaqwa. Ini satu anugerah Tuhan.
Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah raja segala bulan. Pada bulan ini,
Tuhan menyuruh kita berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu
malamnya. Oleh kerana Tuhan hendak memberi pahala yang besar, terutama
yang mendapatkan Lailatul Qadar, ini mesti ada rahsia dari Tuhan,
mengapa Tuhan pilih bulan Ramadhan, mengapa begitu besar pahalanya di
sisi Tuhan. Ini tak berlaku di bulan-bulan lain. Lebih-lebih lagi
dosa-dosa kita semua diampunkan.
Kejadian Manusia
Kalau kita hendak bercerita mengenai hal ini, ia ada hubungan dengan
kejadian manusia itu sendiri. Mungkin kebanyakan orang tidak mengetahui
yang manusia itu kejadiannya terdiri daripada 4 unsur. Iaitu:-
1. jasad lahiriah
2. akal
3. roh
4. nafsu.
* Peranan jasad hanya bertindak, berbuat, melaksana.
* Peranan akal menerima ilmu, menerima maklumat. Samada maklumat itu
betul atau tidak, memberi manfaat atau tidak, dia hanya mengumpulkan
saja maklumat itu.
* Peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Saya ulang lagi, peranan
nafsu merangsang dan berkehendak. Kehendak samada yang baik atau yang
buruk, halal atau haram, positif ataupun negatif..
* Peranan hati hanya semata-mata merasa. Rasa-rasa itulah yang datang
dari akal, dari fizikal, dan yang datang dari tindakan nafsu. Hati atau
Roh ini umpama raja di dalam diri manusia.
Jadi kalau nafsu, akal dan fizikal baik, dia akan membangunkan jiwa2 yang baik.
Kalau nafsu, akal dan jasad jahat maka roh atau hati yang merupakan
raja dalam diri dia akan jahat, Kalau roh baik, maka baiklah hati.
Ini kita dapat lihat atau boleh kita misalkan raja sebuah Negara.
Kita lihat kadang-kadang raja itu jadi jahat oleh orang dikiri dan
kanannya, iaitu pemimpin-pemimpin yang rosak. Tetapi kadang-kadang raja
itu menjadi baik, juga akibat orang-orang di kiri kanannya, macam
penasihat yang baik, maka jadi baiklah raja itu.
Jadi kejadian manusia ini Tuhan yang menjadikannya.Tuhan Maha
Mengetahui bagaimana manusia itu boleh menjadi baik dan bagaimana
menjadi jahat, sebab itu Tuhan dengan kuasanya, kalau manusia itu jahat
bagaimana Tuhan mengubatnya, kalau dia sudah baik bagaimana hendak
dijaga supaya dia tidak menjadi jahat semula.
Manusia yang ada 4 unsur tadi di waktu alam roh, sebelum dilahirkan
tubuh kasarnya, dia sudah kenal Tuhan, taat dan takutkan Tuhan dan dia
sangat baik. Tetapi apabila roh sudah masuk dalam sarangnya [jasad],
lalu dilahirkan bersama sarangnya, maka tiga unsur yang lain tadi yang
boleh mempengaruhi hatinya, sekiranya baik, maka roh manusia yang jadi
raja diri itupun menjadi baik.
Pada manusia itu sebenarnya ada unsur malaikat, syaitan, haiwan dan
manusia. Kalau begitu, berdasarkan unsur-unsur tersebut,maka manusia
boleh menjadi malaikat yang berupa manusia, atau binatang atau syaitan
yang berupa manusia.. Bila manusia kekal sebagai manusia maka dia
normal.
Tidak boleh dikatakan manusia malaikat atau manusia haiwan, tidak
boleh juga dikatakan manusia syaitan. Manusia normal ini biasa sahaja.
Tuhan lahirkan manusia itu untuk dijadikan manusia malaikat, yang
luarannya berupa manusia, rohnya pula bersifat malaikat, baru boleh
menjadi orang bertaqwa.
Kuliah ini terasa susah sikit jadi kena berhati-hati yang mendengar
lagi susah. Kena ambil perhatian kalau tidak dia mudah mengantuk dan
bosan. Tajuk ini penting.
Hakikatnya, Tuhan teramat tahu kelemahan manusia yang mana dalam satu
tahun ada 12 bulan manusia hidup, bergerak, dengan aktiviti, berjuang,
berjihad, bekerja, berfikir. Selalunya majorit akal dan nafsulah yang
mempengaruhi hatinya.Menjadikan roh manusia itu rosak. Jika sudah sedia
rosak bertambah rosak. Kalau dia sudah baik, roh yang asal kejadian
bersifat malaikat, turun pada martabat manusia, iaitu normal. Jarang
yang sudah rosak bertambah baik. Yang baik ertinya sewaktu bersih itu
digilap sampai bercahaya. Yang sudah bersedia bercahaya, bertambah lagi
pancaran cahayanya. Perkara ini jarang berlaku, ia berlaku pada golongan
sedikit.
Sebab itu Tuhan ingatkan dalam Quran, “Hanya sedikit hamba-hambaKu
yang bersyukur”.Maka disinilah dengan Rahmat dan kasih sayang Tuhan,
Tuhan tentukan pada orang Islam, 12 bulan itu diadakan satu bulan untuk
baiki diri dalam setahun. Diri yang sudah rosak sepanjang 11 bulan,
dirosakkan oleh nafsu terutamanya. Yang kedua dirosakkan oleh cara
berfikir kerana menerima maklumat2 yang salah dan dirosakkan oleh
fizikal, arahan nafsu dan akal.
Maka dengan kasih sayang Tuhan dijadikan sebulan dalam setahun itu
supaya manusia itu tidaklah rosak selama-lamanya. Sebulan itu kita
diajar bagaimana hendak membaiki diri. Dengan keadilan dan kasih sayang
Tuhan daripada 12 bulan itu, sebulan dipilih untuk dipost mortem atau
overhaul. Ibarat kereta yang sudah 11 bulan digunakan, lebih-lebih lagi
tidak berhati-hati, dilanyak sesuka hati, maka sebulan tu waktu
overhaul. Masuk workshop lalu enjin, wire, body, dibetulkan semula.
Setelah di overhaul, kereta pulih, enjin baik, body baik, dipandu pun
selesa.
Mentadbir dunia
Begitulah manusia, Tuhan tahu, kebanyakan manusia, dalam masa 11
bulan itu hati mereka mudah rosak Dirosakkan oleh nafsu, akal dan
fizikal. Bagaimana nafsu merosakkan ? Tuhan hantar kita ke dunia,
disuruhNya kita mengambil dunia, mentadbir dunia, untuk diagih2kan pada
orang lain, untuk berkhidmat pada orang lain. Maka tercetuslah kasih
sayang, pembelaan, perkhidmatan. Orang yang malang dapat dibela, orang
yang miskin dapat dipertanggung jawabkan. Akhirnya lahir kasih sayang
antara satu sama lain.
Bukannya kita didatangkan ke dunia mengambil dunia dan untuk cintakan
dunia! Saya ulang lagi, Tuhan datangkan manusia ke dunia, untuk
mengambil dunia, menggunakan dunia untuk berkhidmat, dan menolong orang.
Supaya dengan itu lahir kasih sayang. Supaya tidak berlaku jurang
antara orang kaya dan miskin, antara yang di atas dan yang di bawah,
antara pemimpin dengan rakyat. Tuhan mahu kita ambil dunia untuk
berkhidmat, untuk mendapat pahala. Untuk dapat melahirkan kasih sayang,
bukan untuk dicintai. Yang wajib dicintai hanya satu yaitu Allah. Jadi
konsep berhadapan dengan dunia kenalah dibetulkan. Sebab selama ini kita
sudah salah faham. Ada orang ambil dunia bukannya dengan dunia itu
dapat melahirkan kasih sayang dengan orang lain, sebab dia sudah jatuh
hati dengan dunia.
Bila jatuh hati apa yang terjadi ? Ini kerja nafsulah. Bila sudah
jatuh hati, datanglah rangsangan, datanglah berkehendak. Itulah kerja
nafsu. Yang dimaksudkan dunia itu bermacam-macam. Yang besarnya harta,
jawatan, kekuasaan, pangkat, darjat, pengikut yang banyak, nama,
glamour. Ini dunia.
Jadi bila kita biarkan nafsu berperanan tanpa dididik, tanpa diikat
dengan sifat takutkan Tuhan, cintakan Tuhan, akhirnya Tuhan tidak
dicintai atau ditakuti, lalu manusia itu akan cinta sungguh dengan
dunianya.
Bila dunia dicintai apa yang akan terjadi dengan kehidupan terutama
dengan perasaan ?. Bila tidak dapat hati menjadi susah, bila mahu
mendapatkannya, berusaha bertungkus-lumus pagi petang.
Kadang-kadang sampai terlupa uruskan diri sendiri, betapalah hal-hal
lain, hal syariat, kerana yang dicinta belum dapat, yang dikasihi belum
dapat. Bertungkus-lumus untuk mendapatkannya sampai tidak kira halal dan
haram. Bila sudah didapati, berubah pula jadi negatif. Datang perasan
sayang, tamak, bakhil yang membuatkan tidak terfikir lagi bagai mana
mahu berkorban dan berjuang di jalan Allah untuk menegakkan
kalimatullah.
Kemudian bila tidak dapat juga datang pula penyakit lain. Hasad
dengki dengan orang lain yang mendapatnya. Mungkin boleh sampai
bertindak ke atas orang itu, seperti dia memfitnah, dijatuhkan maruahnya
atau sehingga sanggup pula membunuh.
Side effect yang lain, sifat-sifat itu bila diketahui oleh orang lain
dalam pergaulan, orang lain pun benci, marah, tidak suka, berhasad
dengki. Akhirnya unsur-unsur perbalahan akan wujud. Unsur-unsur
pergaduhan pun terwujud. Kalau tidak dibendung lama-lama membawa kepada
peperangan. Ini semua berpunca daripada cinta dunia.
Sebab itu Rasulullah SAW bersabda .” Hubbuddunya ra’su kulli khatiah…”
Rasulullah SAW bersabda, cinta dunia ibu segala kesalahan.
Rasulullah tidak sebut ibu segala kejahatan. Khatiah itu dalam bahasa
Arab, jika diterjemah pada lafaz maknanya kesalahan, bukan kejahatan.
Ini ada maksud disebaliknya. Ada orang menterjemahkan – ibu segala
kejahatan- sebenarnya tidak begitu. Khatiah itu maknanya kesalahan.
Ertinya buat salah dulu, tersalah dulu, tersilap dulu baru datang
kejahatan. Dalam berbagai-bagai bentuk.
Pembersihan Roh
Rasulullah SAW juga berkata, cintakan Tuhan itu ibu segala kebaikan.
Tetapi kalau dunia dicintai maka berlakulah sebaliknya iaitu ibu segala
kesalahan. Bila sudah salah, salah meletakkan cinta dunia tadi, maka
akan berbuah segala kejahatan yang berbagai-bagai. Jadi kalau nafsu itu
jahat, sudah cintakan dunia maka dia akan memberikan kesan kepada roh.
Saya sudah kata roh itu tugasnya hanya berperasaan. Kalau akal, nafsu
dan fizikal sudah jahat, yang jahat itulah yang menjadi penasihat pada
roh. Apa akan berlaku pada perasaan ? Bukannya akan lahir perasaan yang
positif. Berkasih sayang, takut, bertimbang rasa, berperikemanusiaan,
mengutamakan orang lain, tidak berlaku begitu. Akan datang sakit hati,
sombong, megah, rasa berdendam, rasa tidak mahu maafkan orang, tidak
mahu meminta maaf.
“Kalau minta maaf jatuh wibawa aku, kalau aku bagi maaf pun jatuh wibawa.”
Timbul perasaan-perasaan negatif bukan positif. Sebab itu yang akan
dapat nikmat nanti dan yang akan kena azab ialah roh, roh yang kekal.
Bukannya nafsu, fizikal dan akal. Jadi Tuhan tahu hal ini, kesan
daripada tidak terdidiknya akal, nafsu dan fizikal ini akan mempengaruhi
roh. Roh yang kena azab. Maka sebab itu dengan kasih sayang Tuhan,
Tuhan bagi orang Islam bulan Ramadhan dengan tujuan membaiki 4 unsur (4
anasir). iaitu dapat betulkan semula rohnya, nafsunya, akal dan
fizikalnya.
Setengah orang itu bila boleh membaiki diri di dalam bulan Ramadhan
dia akan mendapat kekuatan sampai ke Ramadhan yang akan datang. Bila
datang Ramadhan akan datang, roh yang sudah bersih itu tinggal digilap
sahaja supaya bercahaya. Roh yang tidak hitam tetapi ada habuk-habuk,
ringanlah sedikit, bila datang Ramadhan akan datang maka kalau dia
beribadah, habuk itu terbuang,tidaklah begitu teruk membersihkannya. Roh
yang bersih, itu orang soleh. Kalau roh bercahaya itu orang bertaqwa,
muqarrabin. Orang soleh dalam golongan Ashabul Yamin, .Mereka akan
banyak dihisab tetapi tidak dimasukkan ke dalam neraka, cuma akan susah
dihisab. Tetapi kalau roh itu bercahaya, datangnya Ramadhan lagi tambah
kilauan cahayanya, darjatnya semakin naik. Bagi yang belum sampai ke
peringkat wali, bila datang Ramadhan lalu Rohnya semakin bersih
bercahaya lagi, jadilah wali, InsyaAllah – orang begini termasuk
golongan Muqarabin yang sedikit itu. Di akhirat dia akan termasuk
golongan bighairi hisab, tidak payah dihisab. Yang tadi – Ashabul Yamin,
kena hisab. Orang kena hisab ni macam kita pergi ke luar Negara,
imigresen dan kastam periksa. Jika tiada masalah terlepaslah tapi
mungkin mengambil tempoh 3 jam. Di dunia 3 jam pun sudah susah. Di sana
kalau ditahan, bukan 3 jam mungkin 50 tahun, mungkin 100 tahun. Cuma
tidak kena azab sahaja.
Jadi Tuhan tahu dimana kekuatan dan kelemahan manusia, maka Tuhan
suruh kita baiki di bulan Ramadhan. Sebab itu kalau orang boleh pulihkan
semula rohnya yang hitam jadi kelabu, yang kelabu dibersihkan habuknya,
yang bersih dicahayakan, kemudian bersih dan bertambah darjat kilauan
cahayanya, Tuhan bagi pahala berganda-ganda, diampunkan dosanya.
Bila mendapat Lailatul Qadar, Tuhan bagi seolah-olah dia beribadah
lebih 83 tahun. Kalau dia dapat 3 kali Ramadan Lailatul Qadar, dan dia
berjaya memutihkan dan mencahayakan rohnya ertinya dia hidup beberapa
ratus tahun !
Lailatul Qadr
Lailatul Qadar ini, umat-umat sebelum Nabi Muhammad SAW tidak
mendapatnya. Tetapi dengan keadilan Tuhan, masing2 dapat menjadi baik,
sama2 mendapat kemudahan.Orang zaman dahulu panjang umur, kita pendek
umur, tapi boleh mendapat pahala yang sama. Sebab itu umat dahulu ada
yang berumur 200 thn, 400 thn. Jika 100 thn dahulu masih dianggap
pemuda. Mana yang bernasib baik, sampai 500 tahun, Pada zaman kita
sekarang, 20 thn itu muda remaja. Tetapi umat dahulu,mereka tidak
mendapat Lailatul Qadar, tidak dapat Ramadan. Rasulullah SAW dipendekkan
umur umatnya tapi dilebihkan pahala. Itulah kebesaran RasulullahSAW,
dengan kerananya kita mendapat rahmat.
Jadi sebab itu Tuhan tahu kita ini dipendekkan umur tetapi
dikurniakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mana hendak mendapatkan
Lailatul Qadar tu bukanlah mudah dan satu kebiasaan. Ibadah puasa yang
dibuat itu mestilah sampai dapat memberi cahaya pada hati, paling
tidakpun dapat membersihkan hati, hingga menjadi orang soleh yakni
golongan Ashabul Yamin. Kalau hati itu sampai bercahaya-cahaya, itu
tersangat hebat!. Jadi mari kita lihat, munasabahkah hendak mendapat
pahala berganda-ganda, menasabahkah hendak mendapat pahala lebih 1000
bulan, apakah sebabnya yang sampai begitu mujarab, ini jarang dikaji
orang.