Nur Muhammad

Thursday, October 30, 2014

Mukaddimah Taqwa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang.


          Puji dan syukur pada Allah SWT. Rahmat dan keredhaan Allah pada Rasul-Nya Muhammad SAW. Semoga selamat kita semuanya berserta hamba-hamba-Nya yang baik.

          Taqwa itu sangat penting. Ia merupakan aset umat Islam dunia dan Akhirat. Ia adalah keselamatan dunia dan Akhirat. Ia adalah kemenangan dunia dan Akhirat. Ia adalah juga perlindungan dunia dan Akhirat.

          Semenjak dahulu, inilah faktor yang membawa kepada bantuan Allah SWT di dalam segala usaha ikhtiar umat Islam. Terutama di kalangan para Sahabat. Allah buka pintu hati manusia sehingga mudah menerima kebenaran, mudah menerima Islam dan mudah dalam perjuangan. Allah buka laluan kepada perkembangan Islam yang pesat. Allah buka laluan dengan didatangkan para pendokong yang berkemampuan membangunkan umat.

          Allah datangkan rasa berani yang luar biasa kepada umat Islam dan rasa ketakutan yang amat sangat kepada para penentang. Di zaman para Tabiin di mana golongan taqwa masih ramai di tahap pemimpin hingga ke rakyat biasa, maka Allah buka pintu ilmu pengetahuan dalam bidang kehidupan. Ketika Barat masih dalam era kegelapan, Islam pula sedang pesat berkembang dengan berbagai penemuan baru dalam ilmu pengetahuan.
 
Sultan Muhammad AlFatih
          Tetapi itu semua telah berlalu dan sudah menjadi fakta sejarah. Telah berlaku satu zaman di mana umat Islam asyik dengan Allah dan merindui Akhirat. Berlaku juga satu zaman yang telah Allah curahkan segala-galanya kerana kebanyakan umatnya bertaqwa. Kini, umat Islam sudah tidak bertaqwa lagi. Bila tidak bertaqwa, hati jadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas kita melupai Allah SWT. Hati tidak bergantung kepada Allah lantas Allah melupai kita. Sepertimana tidak ada kuasa yang dapat menahan apabila Allah kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak ada sebarang kuasa yang berdaya untuk menebus kekalahan dan kehinaan umat Islam apabila Allah kehendaki ia berlaku begitu.

          Taqwa memang penting bagi umat Islam. Sebab itu ia menjadi rukun khutbah. Ertinya kalau tertinggal maka khutbah tidak sah. Bila khutbah tidak sah, tidak sahlah sembahyang Jumaat dan tidak sahlah sembahyang sunat hari raya. Ini menunjukkan besarnya sifat taqwa hingga ia menjadi rukun khutbah. Namun taqwa itu bukan sahaja tidak dihayati malah kurang difahami oleh umat Islam.


          Taqwa ini telah disalahertikan. Ia telah diremehkan, diambil ringan dan tidak dititikberatkan. Fahaman tentang taqwa ini telah dipermudahkan. Taqwa hanya ditakrifkan sebagai buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Pengertian seperti ini tidak mempunyai roh atau tidak membabitkan pengertian yang mendalam. Maka jadilah ia sesuatu yang hambar dan tidak memberi manfaat. Akibatnya, umat Islam seolah-olah terasing dan terpisah dari persoalan taqwa.         

Taqwa tidak lagi menjadi teras dalam kehidupan umat Islam. Ia hanya tinggal sebutan yang ramai umat Islam tidak faham apa sebenar maksud, hakikat dan tuntutannya. Oleh kerana taqwa ini adalah syarat dan landasan untuk umat Islam mendapatkan dunia dan Akhirat, maka tanpa taqwa, umat Islam terumbang-ambing dalam kehidupan. Akhirat terlepas, dunia berciciran. Umat Islam terpaksa meniti di atas landasan orang kafir. Sebab itu umat Islam terhina di mana-
mana, ditindas dan diperkotak-katikkan, miskin, mundur dan berpecah belah. Umat Islam tidak ada wibawa, tidak ada maruah dan tidak ada kekuatan.

          Hendak mendapatkan keuntungan dalam ekonomi mesti dengan sifat taqwa. Hendak mendapat kemenangan dalam perjuangan mesti ada taqwa. Hendak mendapat bantuan dan pertolongan Tuhan juga adalah kerana taqwa. Hendak terlepas dari bala bencana atau azab penderitaan di dunia juga mesti berdasarkan sifat taqwa.

          Kalau orang Islam itu tidak ada sifat taqwa, Tuhan bantu juga. Tuhan bagi makan juga. Tuhan bagi ilmu juga selama mana mereka hidup. Tapi cara ini bahaya. Tuhan bagi secara kutukan. Tuhan bagi secara murka. Tuhan bagi secara tidak redha. Ini samalah caranya Tuhan bantu orang kafir iaitu atas dasar istidraj yakni dengan kemurkaan. Itu sebenarnya adalah tipuan dari Tuhan. Akhirnya dengan bantuan seperti itu, dia terjun ke Neraka. Dengan bantuan seperti itulah dia akan membuat kezaliman dan kejahatan di atas muka bumi. Kerana mendapat sesuatu dari Tuhan secara tidak sihat, maka hasilnya tidak sihat dan natijahnya juga tidak sihat. Ia rosak dan merosakkan.

          Amalan taqwa pula bukan setakat sembahyang sahaja. Bukan setakat membaca Quran, berwirid dan berzikir. Bukan juga bersuluk dan beruzlah, menjauhkan diri dari orang ramai. Taqwa bukan sahaja di surau dan di masjid. Taqwa merangkumi segala perkara yang berlaku dalam kehidupan, di mana sahaja, baik dalam kehidupan bermasyarakat seharian, dalam ekonomi, pembangunan, pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, kesihatan dan sebagainya. Yang penting, setiap amalan itu ada rohnya, dihayati dan dijiwai. Barulah setiap amalan itu menjadi amalan taqwa.

         

Kita mesti bertaqwa kepada Allah sejauh yang termungkin. ‘Sejauh yang termungkin’ di sini bermaksud turun naik nafas, mendengar, melihat, makan minum, berjalan dan berhibur, kesemuanya mesti dijadikan amalan taqwa. Jangan ada satu hembusan nafas yang tidak jadi taqwa. Jangan ada seulas nasi yang tidak jadi taqwa. Jangan ada satu pendengaran atau penglihatan yang tidak jadi taqwa.

          Sebenarnya erti taqwa itu terlalu besar. Ia aset untuk orang Islam dunia dan Akhirat. Kalau ini difahami dan dihayati, barulah kita akan selamat dunia Akhirat.

Sunday, October 6, 2013

AKIBAT MENOLAK SUNNATULLAH


Allah SWT mencipta langit, bumi dan seluruh isinya termasuk manusia. Allah juga mewujudkan peraturan demi untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka bukan sahaja di dunia, bahkan juga di Akhirat, tempat tinggal terakhir buat manusia. Peraturan atau syariat Allah yang berlaku di bumi tempat tinggal sementara manusia ini, itulah yang dikatakan sunnatullah. Ia merupakan peraturan dan perjalanan yang Allah Taala telah tetap dan peraturkan untuk manusia. Yang wajib kenalah manusia ikut dan patuhi. Jika manusia tidak patuhi dan menolak sunnatullah itu, pasti manusia rosak dan binasa. Rosak dan binasa itu pasti terjadi di dunia lagi sama ada dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

Apabila kita memperkatakan sunnatullah iaitu satu sistem dan peraturan yang ditentukan oleh Allah Taala buat manusia di dunia ini, ia tidak akan berubah dan tidak ada siapa yang boleh merubahnya sejak Allah Taala wujudkannya hinggalah sampai bila-bila.Firman Allah SWT: “Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah, engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan sunnatullah itu.” (Fathir: 43)
Perlu diingat bahawa sunnatullah itu terbahagi kepada dua bahagian:
1. Pertama:Manusia menerimanya secara terpaksa
2. Kedua: Manusia menerima secara sukarela
Firman Allah: “Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa.” (Ar Ra’d: 15)
Secara terpaksa (karhan)
Sunnatullah yang pertama, manusia terpaksa menerimanya secara terpaksa (karhan).
Di antaranya seperti:
• Jika manusia ingin bernafas, Allah sudah tentukan dengan udara bukan dengan air dan lain-lain.
• Bernafas melalui hidung bukan melalui mata dan lainlainnya.
• Makan dan minum melalui mulut bukan melalui dubur dan lain-lain jalan.
• Berjalan menggunakan kaki bukan melalui tangan dan lain-lain.
• Kalau mahu rehat dan untuk memulihkan kesegaran kenalah tidur dan rehat, bukan melalui bermain atau panjat pokok dan lain-lain.
• Begitulah keadaannya. Banyak contoh-contoh lain lagi yang tidak perlu disebutkan di sini. Kiaskan sahaja.
Secara sukarela (tau’an)
Sunnatullah yang kedua ialah Allah Taala membuat peraturan sebagai sunnatullah yang tidak akan diubahi seperti:
• Makan dan minumlah yang halal seperti nasi dan air mineral, jangan makan dan minum yang haram seperti daging babi dan arak.
• Inginkan perempuan kenalah berkahwin. Jangan berzina.
• Inginkan kaya, berusahalah secara halal seperti berniaga, bertani dan berternak. Jangan mencuri, jangan menipu dan jangan rasuah.
• Jika inginkan keselamatan negara dan masyarakat, kenalah mengguna hukum Allah Taala yang berdasarkan Al Quran dan Sunnah.
• Kalau mahu kehidupan di bidang ekonomi berjalan sihat, tidak ada penipuan dan penindasan, tolaklah sistem riba, monopoli dan memperniagakan yang haram.
• Jika mahu kehidupan manusia seimbang agar terjamin kebahagiaan dan keharmonian, bangunkanlah kehidupan yang bersifat material dan juga pembangunan rohaniah.
Demikianlah beberapa contoh. Terlalu banyak lagi. Kiaskan sahaja. Kedua-dua sunnatullah itu sama ada yang bersifat terpaksa (karhan) mahupun bersifat sukarela atau pilihan (tau’an) atau ada usaha memilih untuk melaksanakannya, kalau dilanggar atau tidak dipatuhi, pastilah manusia akan binasa di dunia ini sebelum binasa di Akhirat kelak. Sebab-sebab manusia menolak itu mungkin kerana manusia itu mahu buat peraturan sendiri sebab tidak puas hati dengan peraturan Tuhan itu. Maka mereka pun membuat sunnah sendiri.
Sunnatullah yang pertama, tidak ada manusia yang menentang atau menolaknya. Semua orang boleh menerimanya kerana dari pengalaman manusia, mereka boleh menerima dengan penuh suka dan puas hati. Tidak ada yang terasa berat menerimanya. Bahkan tidak ada yang merasa inferiority complex menerimanya. Semua menerimanya dengan berpuas hati dan senang hati. Tidak ada yang merasakan kolot, ketinggalan zaman, out of date.
Tidak ada yang mengatakan, “Ia sudah ketinggalan zaman, semenjak Nabi Allah Adam lagi manusia bernafas dengan udara. Sudah terlalu lama, sudah kolot. Inikan zaman sains dan teknologi, zaman IT canggih, tidak sepatutnya kita bernafas dengan udara lagi. Patut kita bernafas dengan air. Patut kita ubah rasa.” Tiada manusia yang mengatakan begitu. Mengapa manusia boleh menerima bahkan berpuas hati dengan sunnatullah yang pertama iaitu yang bersifat karhan? Mengapa tidak ada mempertikainya? Mengapa tidak terasa kolot menggunakan peraturan yang sudah terlalu lama itu?
Manusia boleh menerimanya kerana kalau melanggar sunnatullah itu risikonya besar dan cepat sekali rosak binasa hingga boleh membawa mati. Bahkan sudah ramai yang mati disebabkan air. Cubalah bernafas dengan air! Bolehkah hidup? Bolehkah bernafas? Sudah tentu tidak boleh. Kalau diteruskan juga, masa itu juga binasa. Jadi oleh kerana kalau melanggar sunnatullah yang pertama, yang bersifat terpaksa itu (karhan), manusia akan cepat menerima risikonya, maka tidak adalah manusia yang melanggar sunnatullah yang pertama itu. Malahan manusia boleh patuh dengan puas hati. Di sini manusia merasa selamat menerima sunnatullah yang bersifat karhan. Manusia berpuas hati menerima peraturan itu. Manusia mengakui siapa yang melanggar sunnatullah itu, mereka pasti rosak binasa. Ertinya mematuhi peraturan yang bersifat karhan itu, ia sangat menyelamatkan dan menguntungkan manusia. Bagaimanapun, manusia payah mahu menerima sunnatullah yang kedua iaitu yang bersifat sukarela (tau’an). Termasuklah sebahagian besar umat Islam di dunia, di akhir zaman ini. Allah Taala membenarkan manusia untuk memilih menerima atau menolak sunnatullah yang bersifat tau’an ini tetapi risikonya tetap ada bahkan lebih besar lagi. Sama ada yang akan berlaku di dunia, betapalah yang akan ditimpakan di Akhirat kelak.
Umat Islam sendiri merasa malu untuk menerimanya, ragu melaksanakannya, takut tidak maju, takut huru-hara, malu dengan yang bukan Islam. Ia dianggap ketinggalan zaman dan sudah tidak sesuai lagi. “Sekarang zaman sains dan teknologi, zaman IT canggih, bukan zaman unta.” Begitulah umat Islam sendiri dengan penuh angkuh dan sombong menolaknya. Bahkan benci dan prejudis terhadap pejuang-pejuang yang hendak menegakkan sunnatullah kedua yang bersifat tau’an ini. Ramai manusia yang menolak, termasuklah sebahagian besar umat Islam, kerana apabila menolak sunnatullah yang kedua ini risikonya lambat. Kebinasaan dan kerosakan tidak terus berlaku di waktu itu. Ianya lambat berlaku. Adakalanya selepas sepuluh tahun, lima belas tahun atau dua puluh tahun. Sehinggakan apabila risiko dan kerosakan menimpa, di waktu itu mereka sudah tidak dapat kaitkan lagi ia dengan perlanggaran dan penolakan sunnatullah yang dilakukan sejak bertahun-tahun yang lalu. Lantaran itu kalau ada orang atau golongan yang sedar, memberitahu kerosakan moral, jenayah, perpecahan dan lain-lain lagi yang berlaku sekarang ini disebabkan kita sejak dahulu telah melanggar sunnatullah, mereka akan menolaknya. Bahkan marah dan bermusuh pula dengan orang itu. Mereka tidak boleh hendak mengaitkan gejala sosial yang berlaku, yang telah merosakkan masyarakat hari ini dengan kesalahan mereka menolak hukum atau sunnatullah itu.
Sebagai contoh, keruntuhan akhlak dan gejala tidak sihat yang berlaku di dalam masyarakat sekarang seperti bohsia, bohjan, budaya lepak, vandalisme, rompak, samun, rasuah, krisis rumah tangga dan sebagainya itu adalah akibat dari apa yang kita telah lakukan sejak puluhan tahun yang lalu. Ianya berlaku apabila sistem pendidikan tidak mengikut syariat Allah, sistem ekonomi berdasarkan kapitalisme, perlembagaan negara bertentangan dengan sunnatullah iaitu tidak mengikut Al Quran dan Hadis, masyarakat kita tidak dihalang daripada pergaulan bebas dan media massa tidak dikawal daripada memaparkan apa yang dilarang oleh Allah seperti mempamerkan gambargambar lucah yang merangsang nafsu. Jadi, gejala sosial yang berlaku adalah buah dari pokok yang sudah lama kita tanam. Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa sunnatullah yang kedua ini yang bersifat tau’an, jangan dilanggar. Kalau dilanggar tetap memudarat dan merosakkan masyarakat manusia tetapi memakan masa yang panjang baru nampak risikonya.
Setelah lama barulah terlihat kesannya. Sama ada sunnatullah yang pertama mahupun yang kedua, yang bersifat karhan mahupun yang bersifat tau’an, kalau dilanggar juga kita akan binasa. Hidup kita akan huru-hara. Masyarakat kita akan pincang. Kebahagiaan kita akan tercabar dan keharmonian kita akan hilang. Cuma pelanggaran yang pertama cepat kebinasaannya tetapi pelanggaran yang kedua lambat. Itu sahaja bezanya. Justeru itu kalau didapati di dalam masyarakat kita berbagaibagai jenayah, kerosakan akhlak, krisis, bahkan bencana alam, rujuk cepatlah kepada Allah Taala. Jangan lengah-lengah lagi. Muhasabah diri dan sistem yang kita bangunkan. Ada atau tidak pelanggaran sunnatullah itu. Kalau didapati ada pelanggaran, kenalah perbetulkan. Tukar segera dengan sunnatullah, kemudian memohon ampun sebanyak-banyaknya kepada-Nya sebelum Allah Taala menimpakan balasan dan hukuman yang lebih berat dan teruk lagi.
Malam dan siang silih berganti. Pagi dan petang pergi dan datang. Begitulah Sunnatullah berlaku di dunia ini. Tiada siapa yang dapat menahan dan menghalang. Begitulah kuasa Allah dan kemampuan-Nya. Agar manusia prihatin dan peka. Supaya manusia takut dengan-Nya. Bahkan manusia memerlukan Tuhan. Susah dan senang juga silih berganti. Sakit dan sihat demikian juga. Nikmat dan niqmah pergi dan datang. Patut manusia mengambil pengajaran dari kejadian.

Friday, July 26, 2013

CARA MEMBAIKI DIRI DI BULAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran. Bulan yang diturunkan rahmat dan berkat. Bulan diampunkan dosa. Bulan yang kebaikannya diganda-gandakan Tuhan. Bulan yang didalamnya berlaku Lailatul Qadar. Yang mana siapa yang dapat beribadah tepat pada malam Lailatul Qadar seolah-olah dipanjangkan umur. Seolah-olah mereka pernah beribadah selama lebih 1000 bulan, yakni lebih dari 83 tahun. Inilah antara Rahmat Tuhan kepada orang yang bertaqwa atau yang bercita-cita menjadi orang bertaqwa. Ini satu anugerah Tuhan.

Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah raja segala bulan. Pada bulan ini, Tuhan menyuruh kita berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu malamnya. Oleh kerana Tuhan hendak memberi pahala yang besar, terutama yang mendapatkan Lailatul Qadar, ini mesti ada rahsia dari Tuhan, mengapa Tuhan pilih bulan Ramadhan, mengapa begitu besar pahalanya di sisi Tuhan. Ini tak berlaku di bulan-bulan lain. Lebih-lebih lagi dosa-dosa kita semua diampunkan.

Kejadian Manusia
Kalau kita hendak bercerita mengenai hal ini, ia ada hubungan dengan kejadian manusia itu sendiri. Mungkin kebanyakan orang tidak mengetahui yang manusia itu kejadiannya terdiri daripada 4 unsur. Iaitu:-
1. jasad lahiriah
2. akal
3. roh
4. nafsu.

* Peranan jasad hanya bertindak, berbuat, melaksana.
* Peranan akal menerima ilmu, menerima maklumat. Samada maklumat itu betul atau tidak, memberi manfaat atau tidak, dia hanya mengumpulkan saja maklumat itu.
* Peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Saya ulang lagi, peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Kehendak samada yang baik atau yang buruk, halal atau haram, positif ataupun negatif..
* Peranan hati hanya semata-mata merasa. Rasa-rasa itulah yang datang dari akal, dari fizikal, dan yang datang dari tindakan nafsu. Hati atau Roh ini umpama raja di dalam diri manusia.
Jadi kalau nafsu, akal dan fizikal baik, dia akan membangunkan jiwa2 yang baik.
 
Kalau nafsu, akal dan jasad jahat maka roh atau hati yang merupakan raja dalam diri dia akan jahat, Kalau roh baik, maka baiklah hati.
Ini kita dapat lihat atau boleh kita misalkan raja sebuah Negara. Kita lihat kadang-kadang raja itu jadi jahat oleh orang dikiri dan kanannya, iaitu pemimpin-pemimpin yang rosak. Tetapi kadang-kadang raja itu menjadi baik, juga akibat orang-orang di kiri kanannya, macam penasihat yang baik, maka jadi baiklah raja itu.
Jadi kejadian manusia ini Tuhan yang menjadikannya.Tuhan Maha Mengetahui bagaimana manusia itu boleh menjadi baik dan bagaimana menjadi jahat, sebab itu Tuhan dengan kuasanya, kalau manusia itu jahat bagaimana Tuhan mengubatnya, kalau dia sudah baik bagaimana hendak dijaga supaya dia tidak menjadi jahat semula.
Manusia yang ada 4 unsur tadi di waktu alam roh, sebelum dilahirkan tubuh kasarnya, dia sudah kenal Tuhan, taat dan takutkan Tuhan dan dia sangat baik. Tetapi apabila roh sudah masuk dalam sarangnya [jasad], lalu dilahirkan bersama sarangnya, maka tiga unsur yang lain tadi yang boleh mempengaruhi hatinya, sekiranya baik, maka roh manusia yang jadi raja diri itupun menjadi baik.
Pada manusia itu sebenarnya ada unsur malaikat, syaitan, haiwan dan manusia. Kalau begitu, berdasarkan unsur-unsur tersebut,maka manusia boleh menjadi malaikat yang berupa manusia, atau binatang atau syaitan yang berupa manusia.. Bila manusia kekal sebagai manusia maka dia normal.
Tidak boleh dikatakan manusia malaikat atau manusia haiwan, tidak boleh juga dikatakan manusia syaitan. Manusia normal ini biasa sahaja.
Tuhan lahirkan manusia itu untuk dijadikan manusia malaikat, yang luarannya berupa manusia, rohnya pula bersifat malaikat, baru boleh menjadi orang bertaqwa.
Kuliah ini terasa susah sikit jadi kena berhati-hati yang mendengar lagi susah. Kena ambil perhatian kalau tidak dia mudah mengantuk dan bosan. Tajuk ini penting.
Hakikatnya, Tuhan teramat tahu kelemahan manusia yang mana dalam satu tahun ada 12 bulan manusia hidup, bergerak, dengan aktiviti, berjuang, berjihad, bekerja, berfikir. Selalunya majorit akal dan nafsulah yang mempengaruhi hatinya.Menjadikan roh manusia itu rosak. Jika sudah sedia rosak bertambah rosak. Kalau dia sudah baik, roh yang asal kejadian bersifat malaikat, turun pada martabat manusia, iaitu normal. Jarang yang sudah rosak bertambah baik. Yang baik ertinya sewaktu bersih itu digilap sampai bercahaya. Yang sudah bersedia bercahaya, bertambah lagi pancaran cahayanya. Perkara ini jarang berlaku, ia berlaku pada golongan sedikit.
Sebab itu Tuhan ingatkan dalam Quran, “Hanya sedikit hamba-hambaKu yang bersyukur”.Maka disinilah dengan Rahmat dan kasih sayang Tuhan, Tuhan tentukan pada orang Islam, 12 bulan itu diadakan satu bulan untuk baiki diri dalam setahun. Diri yang sudah rosak sepanjang 11 bulan, dirosakkan oleh nafsu terutamanya. Yang kedua dirosakkan oleh cara berfikir kerana menerima maklumat2 yang salah dan dirosakkan oleh fizikal, arahan nafsu dan akal.
Maka dengan kasih sayang Tuhan dijadikan sebulan dalam setahun itu supaya manusia itu tidaklah rosak selama-lamanya. Sebulan itu kita diajar bagaimana hendak membaiki diri. Dengan keadilan dan kasih sayang Tuhan daripada 12 bulan itu, sebulan dipilih untuk dipost mortem atau overhaul. Ibarat kereta yang sudah 11 bulan digunakan, lebih-lebih lagi tidak berhati-hati, dilanyak sesuka hati, maka sebulan tu waktu overhaul. Masuk workshop lalu enjin, wire, body, dibetulkan semula. Setelah di overhaul, kereta pulih, enjin baik, body baik, dipandu pun selesa.

Mentadbir dunia
Begitulah manusia, Tuhan tahu, kebanyakan manusia, dalam masa 11 bulan itu hati mereka mudah rosak Dirosakkan oleh nafsu, akal dan fizikal. Bagaimana nafsu merosakkan ?  Tuhan hantar kita ke dunia, disuruhNya kita mengambil dunia, mentadbir dunia, untuk diagih2kan pada orang lain, untuk berkhidmat pada orang lain. Maka tercetuslah kasih sayang, pembelaan, perkhidmatan. Orang yang malang dapat dibela, orang yang miskin dapat dipertanggung jawabkan. Akhirnya lahir kasih sayang antara satu sama lain.
Bukannya kita didatangkan ke dunia mengambil dunia dan untuk cintakan dunia! Saya ulang lagi, Tuhan datangkan manusia ke dunia, untuk mengambil dunia, menggunakan dunia untuk berkhidmat, dan menolong orang. Supaya dengan itu lahir kasih sayang.  Supaya tidak berlaku jurang antara orang kaya dan miskin, antara yang di atas dan yang di bawah, antara pemimpin dengan rakyat. Tuhan mahu kita ambil dunia untuk berkhidmat, untuk mendapat pahala. Untuk dapat melahirkan kasih sayang, bukan untuk dicintai. Yang wajib dicintai hanya satu yaitu Allah. Jadi konsep berhadapan dengan dunia kenalah dibetulkan. Sebab selama ini kita sudah salah faham. Ada orang ambil dunia bukannya dengan dunia itu dapat melahirkan kasih sayang dengan orang lain, sebab dia sudah jatuh hati dengan dunia.
Bila jatuh hati apa yang terjadi ? Ini kerja nafsulah. Bila sudah jatuh hati, datanglah rangsangan, datanglah berkehendak. Itulah kerja nafsu. Yang dimaksudkan dunia itu bermacam-macam. Yang besarnya harta, jawatan, kekuasaan, pangkat, darjat, pengikut yang banyak, nama, glamour. Ini dunia.
Jadi bila kita biarkan nafsu berperanan tanpa dididik, tanpa diikat dengan sifat takutkan Tuhan, cintakan Tuhan, akhirnya Tuhan tidak dicintai atau ditakuti, lalu manusia itu akan cinta sungguh dengan dunianya.
Bila dunia dicintai apa yang akan terjadi dengan kehidupan terutama dengan perasaan ?. Bila tidak dapat hati menjadi susah, bila mahu mendapatkannya, berusaha bertungkus-lumus pagi petang.
Kadang-kadang sampai terlupa uruskan diri sendiri, betapalah hal-hal lain, hal syariat, kerana yang dicinta belum dapat, yang dikasihi belum dapat. Bertungkus-lumus untuk mendapatkannya sampai tidak kira halal dan haram. Bila sudah didapati, berubah pula jadi negatif. Datang perasan sayang, tamak, bakhil yang membuatkan tidak terfikir lagi bagai mana mahu berkorban dan berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimatullah.
Kemudian bila tidak dapat juga datang pula penyakit lain. Hasad dengki dengan orang lain yang mendapatnya. Mungkin boleh sampai bertindak ke atas orang itu, seperti dia memfitnah, dijatuhkan maruahnya atau sehingga sanggup pula membunuh.



Side effect yang lain, sifat-sifat itu bila diketahui oleh orang lain dalam pergaulan, orang lain pun benci, marah, tidak suka, berhasad dengki. Akhirnya unsur-unsur perbalahan akan wujud. Unsur-unsur pergaduhan pun terwujud. Kalau tidak dibendung lama-lama membawa kepada peperangan. Ini semua berpunca daripada cinta dunia.
Sebab itu Rasulullah SAW bersabda .” Hubbuddunya ra’su kulli khatiah…”
Rasulullah SAW bersabda, cinta dunia ibu segala kesalahan.
Rasulullah tidak sebut ibu segala kejahatan. Khatiah itu dalam bahasa Arab, jika diterjemah pada lafaz maknanya kesalahan, bukan kejahatan. Ini ada maksud disebaliknya. Ada orang menterjemahkan – ibu segala kejahatan- sebenarnya tidak begitu. Khatiah itu maknanya kesalahan. Ertinya buat salah dulu, tersalah dulu, tersilap dulu baru datang kejahatan. Dalam berbagai-bagai bentuk.

Pembersihan Roh
Rasulullah SAW juga berkata, cintakan Tuhan itu ibu segala kebaikan. Tetapi kalau dunia dicintai maka berlakulah sebaliknya iaitu ibu segala kesalahan. Bila sudah salah, salah meletakkan cinta dunia tadi, maka akan berbuah segala kejahatan yang berbagai-bagai. Jadi kalau nafsu itu jahat, sudah cintakan dunia maka dia akan memberikan kesan kepada roh. Saya sudah kata roh itu tugasnya hanya berperasaan. Kalau akal, nafsu dan fizikal sudah jahat, yang jahat itulah yang menjadi penasihat pada roh. Apa akan berlaku pada perasaan ? Bukannya akan lahir perasaan yang positif. Berkasih sayang, takut, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, mengutamakan orang lain, tidak berlaku begitu. Akan datang sakit hati, sombong, megah, rasa berdendam, rasa tidak mahu maafkan orang, tidak mahu meminta maaf.
“Kalau minta maaf jatuh wibawa aku, kalau aku bagi maaf pun jatuh wibawa.”
Timbul perasaan-perasaan negatif bukan positif. Sebab itu yang akan dapat nikmat nanti dan yang akan kena azab ialah roh, roh yang kekal. Bukannya nafsu, fizikal dan akal. Jadi Tuhan tahu hal ini, kesan daripada tidak terdidiknya akal, nafsu dan fizikal ini akan mempengaruhi roh. Roh yang kena azab. Maka sebab itu dengan kasih sayang Tuhan, Tuhan bagi orang Islam bulan Ramadhan dengan tujuan membaiki 4 unsur (4 anasir). iaitu dapat betulkan semula rohnya, nafsunya, akal dan fizikalnya.
Setengah orang itu bila boleh membaiki diri di dalam bulan Ramadhan dia akan mendapat kekuatan sampai ke Ramadhan yang akan datang. Bila datang Ramadhan akan datang, roh yang sudah bersih itu tinggal digilap sahaja supaya bercahaya. Roh yang tidak hitam tetapi ada habuk-habuk, ringanlah sedikit, bila datang Ramadhan akan datang maka kalau dia beribadah, habuk itu terbuang,tidaklah begitu teruk membersihkannya. Roh yang bersih, itu orang soleh. Kalau roh bercahaya itu orang bertaqwa, muqarrabin. Orang soleh dalam golongan Ashabul Yamin, .Mereka akan banyak dihisab tetapi tidak dimasukkan ke dalam neraka, cuma akan susah dihisab. Tetapi kalau roh itu bercahaya, datangnya Ramadhan lagi tambah kilauan cahayanya, darjatnya semakin naik. Bagi yang belum sampai ke peringkat wali, bila datang Ramadhan lalu Rohnya semakin bersih bercahaya lagi, jadilah wali, InsyaAllah – orang begini termasuk golongan Muqarabin yang sedikit itu. Di akhirat dia akan termasuk golongan bighairi hisab, tidak payah dihisab. Yang tadi – Ashabul Yamin, kena hisab. Orang kena hisab ni macam kita pergi ke luar Negara, imigresen dan kastam periksa. Jika tiada masalah terlepaslah tapi mungkin mengambil tempoh 3 jam. Di dunia 3 jam pun sudah susah. Di sana kalau ditahan, bukan 3 jam mungkin 50 tahun, mungkin 100 tahun. Cuma tidak kena azab sahaja.
Jadi Tuhan tahu dimana kekuatan dan kelemahan manusia, maka Tuhan suruh kita baiki di bulan Ramadhan. Sebab itu kalau orang boleh pulihkan semula rohnya yang hitam jadi kelabu, yang kelabu dibersihkan habuknya, yang bersih dicahayakan, kemudian bersih dan bertambah darjat kilauan cahayanya, Tuhan bagi pahala berganda-ganda, diampunkan dosanya.
Bila mendapat Lailatul Qadar, Tuhan bagi seolah-olah dia beribadah lebih 83 tahun. Kalau dia dapat 3 kali Ramadan Lailatul Qadar, dan dia berjaya memutihkan dan mencahayakan rohnya ertinya dia hidup beberapa ratus tahun !

Lailatul Qadr
Lailatul Qadar ini, umat-umat sebelum Nabi Muhammad SAW tidak mendapatnya. Tetapi dengan keadilan Tuhan, masing2 dapat menjadi baik, sama2 mendapat kemudahan.Orang zaman dahulu panjang umur, kita pendek umur, tapi boleh mendapat pahala yang sama. Sebab itu umat dahulu ada yang berumur 200 thn, 400 thn. Jika 100 thn dahulu masih dianggap pemuda. Mana yang bernasib baik, sampai 500 tahun, Pada zaman kita sekarang, 20 thn itu muda remaja. Tetapi umat dahulu,mereka tidak mendapat Lailatul Qadar, tidak dapat Ramadan. Rasulullah SAW dipendekkan umur umatnya tapi dilebihkan pahala. Itulah kebesaran RasulullahSAW, dengan kerananya kita mendapat rahmat.
Jadi sebab itu  Tuhan tahu kita ini dipendekkan umur tetapi dikurniakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mana hendak mendapatkan Lailatul Qadar tu bukanlah mudah dan satu kebiasaan. Ibadah puasa yang dibuat itu mestilah sampai dapat memberi cahaya pada hati, paling tidakpun dapat membersihkan hati, hingga menjadi orang soleh yakni golongan Ashabul Yamin. Kalau hati itu sampai bercahaya-cahaya, itu tersangat hebat!. Jadi mari kita lihat, munasabahkah hendak mendapat pahala berganda-ganda, menasabahkah hendak mendapat pahala lebih 1000 bulan, apakah sebabnya yang sampai begitu mujarab, ini jarang dikaji orang.

Friday, October 5, 2012

SIAPAKAH ORANG YANG BERJAYA?

Allah SWT menyebut di dalam ayat “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan nafsunya dan kecewalah orang yang mengotori nafsunya.” (As Syams: 9-10), yakni siapa yang dapat bersihkan nafsunya dari mazmumah, dia akan mendapat kejayaan. Dia akan mendapat kejayaan di Akhirat. Tentulah dia juga akan mendapat kejayaan di dunia kerana setelah mendapat kejayaan di dunia dahulu, baru kita boleh dapat kejayaan di Akhirat. Kejayaan di Akhirat tentulah kejayaan mendapat Syurga. Mendapat Syurga itu ditentukan di dunia lagi.
Kejayaan di dunia itu ialah apabila kita boleh membersihkan nafsu dari mazmumah iaitu dari sifat-sifat batin yang keji. Contoh sifat-sifat batin yang keji itu, yang besar-besarnya adalah seperti syirik, sombong, hasad, pemarah, tamak, bakhil dan lain-lain. Semuanya ada 10 sifat mazmumah yang besar. Lawannya iaitu sifat mahmudah yang besar pun ada 10. Itu sudah selalu kita perkatakan.
Mengapa Tuhan kata siapa yang boleh bersihkan nafsunya maka dia berjaya di dunia? Bagaimanakah yang dikatakan berjaya di dunia itu? Kita tahu berjaya di Akhirat itu akan mendapat Syurga. Berjaya di dunia itu bagaimana pula? Yang dimaksudkan berjaya di dunia itu adalah:
1. Apabila seorang itu berjaya membersihkan nafsunya dari mazmumah.
Siapa boleh membersihkan nafsunya dari mazmumah, dia boleh berjaya di dunia. Tuhan tidak katakan menang tetapi Tuhan sebut, “Qod aflaha… – ” yakni berjaya. Asal perkataannya ialah ‘falaha – ‘ (kejayaan). Sebab itu dalam bahasa Arab, petani itu disebut, ‘fallah – ‘ iaitu sangat berjaya dan sangat berjasa. Dahulu, orang tidak berapa pandai berniaga, jadi petani dianggap orang yang sangat berjaya kerana mereka banyak mengeluarkan hasil. Sebab itu petani disebut fallah, menggunakan isim mubalaghah, iaitu sangat berjaya sebab mereka beri makan kepada rakyat. Petani bukan hanya menanam, dia juga bela kambing, kerbau dan ikan. Di zaman moden ini, orang yang berniagalah dianggap yang dapat kejayaan sebab mereka banyak dapat untung.
Jadi dalam ayat Quran ini Allah kata, siapa yang dapat membersihkan nafsunya daripada mazmumah seperti syirik, bakhil, pemarah, hasad dengki, riyak, ujub dan lain-lain, inilah orang yang mendapat kejayaan. Ertinya di dunia lagi sudah dapat kejayaan. Apakah pula kegagalan itu? Bagi yang tidak dapat bersihkan nafsunya, ertinya dia kekal dengan mazmumah. Itulah kegagalan. Oleh kerana dia kotorkan nafsunya dengan mazmumah maka dia dianggap orang yang gagal. Gagal yang bagaimana? Nafsu ini jahat. Dalam ayat Quran, Allah SWT berfirman: ”Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)
Tuhan gunakan isim mubalaghah juga. Nafsu itu sangat jahat dan menyeru orang berbuat jahat. Bila nafsu sudah jahat, ia menjadi highway bagi syaitan untuk bergerak. Kalau highway tidak ada, syaitan jalan di tepi-tepi sahaja. Bila ada highway, dia terus masuk ke dalam.

Berdoalah

2. Apabila dapat tegakkan syariat
Apabila orang itu dapat membersihkan nafsunya daripada mazmumah kepada mahmudah, maka dia akan berjaya tegakkan syariat. Nafsu yang jahatlah yang menyebabkan orang tidak boleh tegakkan syariat. Nafsu bekerjasama dengan syaitan. Jadi berjaya itu ialah berjaya membangunkan syariat dalam hidup yakni berjaya berkasih sayang, jadi orang yang pemurah, yang tinggi kemanusiaannya, berjaya bekerjasama, berjaya bersatu padu, sanggup berjuang sedangkan nafsu tidak mahu berjuang, berjaya memberi maaf dan meminta maaf serta lain-lain lagi. Kalau mazmumah penuh bersarang di hati, semua ini tidak akan dapat dilakukan.
Jadi bila seseorang itu dapat bersihkan nafsunya maka dia berjaya yakni berjaya tegakkan syariat sebab nafsulah yang menghalangnya menegakkan syariat, dengan kerjasama syaitan.
Sebaliknya kalau kita tidak berjaya bersihkan nafsu, ertinya kita gagal. Gagal di dunia dan di Akhirat tempatnya di Neraka. Gagal berkasih sayang, gagal menolong orang, gagal bersatu padu, gagal simpati dengan orang susah, gagal berjuang dan lain-lain lagi. Rupanya syariat lahir dan batin tidak boleh ditegakkan kerana ada peranan nafsu yakni apabila orang lupa bersihkan nafsunya daripada mazmumah. Ramai orang sembahyang tetapi lupa hendak bersihkan nafsu dari mazmumah. Dia sembahyang hendakkan fadhilat dan pahala. Dia tidak terfikir hendak tumpaskan nafsu. Begitu juga buat haji, umrah kerana fadhilatnya besar. Tidak terfikir hendak tumpaskan nafsu.

Ertinya, walaupun seseorang itu banyak ibadah, wirid zikirnya dan lain-lain lagi tetapi selagi tidak boleh bersihkan nafsunya, dia dianggap gagal kerana gagal untuk bangunkan syariat dalam hidupnya sama ada syariat lahir mahupun syariat batin. Syariat lahir seperti yang dikatakan tadi iaitu berkasih sayang, bersatu padu, bertimbang rasa, suka tolong orang dan suka berkhidmat kepada manusia. Orang gagal untuk bangunkan syariat kerana dia lupa hendak perangi nafsunya, padahal tujuan ibadah-ibadah asas itu ialah untuk perangi nafsu. Soal fadhilat itu tidak perlu kita minta atau kita fikirkan. Itu hak Tuhan. Kalau kita tidak tahu fadhilat sesuatu ibadah, pun tidak apa. Apabila kita tidak tahu fadhilatnya, kita lebih ikhlas. Kalau tahu, nanti bercampur pula niat kita dengan niat hendakkan pahala yang besar. Ini lagi bahaya.
Kadang-kadang ada orang buat ibadah tetapi ibadahnya tidak mengubat nafsu. Tidak jadi ubat untuk buang mazmumah. Jadi orang yang tidak sanggup mengubat nafsu, yang mengotori nafsunya, yang tidak boleh buang mazmumah, dianggap gagal. Orang yang tidak boleh buang mazmumah ini ertinya dia tidak pernah berjuang. Orang fikir berjuang itu jihad Palestin, (melawan musuh lahir). Pernahkah orang yang hendak berpuasa terfikir, “Aku hendak puasa ini untuk tekan nafsu aku?” Yang orang fikir, “Aku nak puasa sunat Isnin Khamis ini untuk dapat pahala dan fadhilat.” Dia sudah tertipu. Dia tonjol pahala dan sorok mazmumahnya. Mana orang terfikir buat ibadah itu untuk perangi mazmumah. Dia hanya fikir pahala. Itulah yang diajar oleh tok-tok guru kita. Kalau orang buat ibadah pun tidak ada cita-cita untuk perangi nafsu, lagilah orang yang tidak beribadah.
Lupakan sahaja soal pahala dan fadhilat. Ibarat kita makan gaji. Tidak payah kita fikir selalu tentang gaji. Kalau kita kerja dengan baik, majikan tentu beri gaji walaupun kita terlupa tentang gaji. Begitulah pahala dan fadhilat itu diberi Tuhan. Kalau betul, kena cara dan jalannya, Tuhan mesti beri. Tidak payah kita sebut atau kita fikirkan. Patutnya kita fikir, dengan ibadah itu sama ada wajib atau sunat, adalah untuk perangi nafsu. Sebab Tuhan kata, kalau nafsu tidak dibersihkan, kita dianggap gagal. Kalau gagal, dikira orang yang kecewa dalam hidupnya. Bila kecewa dalam hidup, di Akhirat akan masuk Neraka.
Siapa yang membersihkan nafsunya, inilah orang yang berjaya di dunia dan akan mendapat Syurga di Akhirat. Kejayaannya ialah berjaya bangunkan syariat lahir dan batin. Sebab yang menghalang manusia dari membangunkan syariat ialah nafsu dan syaitan. Bahkan sudah dikatakan tadi bahawa orang yang sembahyang, puasa dan orang yang naik haji pun gagal. Orang berjuang lebih-lebih lagi gagal. Kenapa? Kita lihat orang sekarang berjuang, dia baja nafsunya. Mereka yang militan bukan membersihkan nafsunya sebaliknya mereka suburkan nafsunya. Mereka adalah orang yang gagal melawan nafsu. Ertinya gagal membangunkan syariat.
Itulah yang Allah maksudkan dengan ayat: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan nafsunya dan kecewalah orang yang mengotori nafsunya.”
Kalau orang Islam yang boleh beribadah, berjuang, boleh belajar pun gagal melawan nafsu, maka apatah lagi orang yang tidak beribadah, tidak belajar dan tidak berjuang. Tentulah lemas dalam nafsunya. Jarang orang berfikir hendak lawan nafsu. Orang hanya fikir pahala dan fadhilat. Tuhan tidak kata, siapa yang tidak dapat pahala itu gagal tetapi Tuhan kata kalau tidak boleh bersihkan nafsu, itu gagal. Orang yang tidak mampu maafkan orang, itu dari nafsu. Tidak simpati dengan kesusahan orang, itu juga nafsu. Tidak mampu hendak minta maaf sehingga rasa hendak minta maaf itu, jatuh wibawanya dan rasa macam hendak tercabut nyawa, itu juga dari nafsu. Padahal ianya mudah sahaja untuk dibuat tetapi kerana nafsu, terasa berat.
Benarlah Tuhan kata, siapa yang bersihkan nafsunya, adalah orang yang berjaya yakni berjaya menegakkan syariat dan berjaya ke Syurga. Siapa yang tidak boleh bersihkan nafsunya dianggap gagal sekalipun kuat ibadahnya. Gagalnya itu bermakna tidak mampu tegakkan syariat dalam hidup sama ada syariat lahir atau batin. Di dunia dia gagal. Tuhan tidak pandang ibadahnya, puasanya, hajinya, jihadnya sebab dia gagal. Dia gagal mendidik nafsu. Di Akhirat, orang gagal akan ke Neraka.
Begitulah lebih kurang tafsiran ayat tadi. Moga-moga kita boleh faham, boleh hayati dan boleh laksanakan dalam hidup kita. Moga-moga kita dianggap orang yang berjaya. Di Akhirat akan dapat Syurga. Sudah begitu cara Tuhan. Orang yang berjaya dapat Syurga. Orang yang gagal bersihkan nafsunya, dianggap gagal di dunia kerana gagal menegakkan syariat dan di Akhirat akan ke Neraka. Moga-moga dari huraian ini, kita boleh dapat ilmu, boleh laksanakan dalam hidup kita dan moga-moga kita boleh jadi orang yang berjaya.

Monday, August 6, 2012

“KASIH SAYANGKU MENGATASI KEMURKAANKU”


Murka Allah adalah suatu sifat Allah yang kita tidak akan dapat melarikan diri daripadanya kecuali bagi orang yang telah benar-benar dapat membersihkan hatinya. Di dalam Al Quran, murka atau marah Allah disebutkan sebagai  Zuntiqam yang bermaksud  Pembalas segala kejahatan dengan azab seksa.  Juga disebutkan sebagai Syadiidul ‘Iqab yang membawa maksud amat pedih seksaan-Nya.


Di dalam Al Quran telah berulang-ulang diingatkan akan sifat murka Allah SWT ini.  Antaranya: “Mahukah kamu Aku tunjukkan tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasiq) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, di antara mereka ada yang dijadikan kera dan babi iaitu orang-orang yang menyembah berhala. Merekalah orang yang paling buruk kedudukannya, paling sesat dari jalan yang lurus.” – Al Maidah : 60

“Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka Neraka Jahanam.”- Al Fath : 6

Sifat marah atau murka Allah tidak tergolong di dalam salah satu daripada Asmaul Husna-Nya seperti sifat-sifat Ar Rahman, As Syabur, Al Ghafur, Al Wali dll. Sifat-sifat Pengasih, Penyabar, Pemaaf, Pemelihara itu adalah sifat-sifat yang sentiasa, tetap dan kekal adanya pada Zat Allah sehingga dijadikanlah nama-nama indah bagi-Nya. Sedangkan sifat murka atau marah Allah bukan satu suatu sifat yang tetap bagi-Nya.

Maknanya, Allah bersifat murka atau marah hanya pada waktu-waktu atau pada tempoh-tempoh yang tertentu. Allah akan murka dan marah hanya apabila hambaNya melakukan kejahatan dan dosa. Bila hamba yang berbuat kejahatan itu sedar kembali lantas bertaubat, akan segera hilang marah dan murka Allah. Allah terus memaafkan dan kembali melahirkan kasih sayang-Nya kepada si hamba tadi.

Tetapi lain pula keadaannya terhadap orang-orang kafir. Murka Allah kepada mereka akan kekal selama mana mereka mengekalkan dosa mensyirikkan Allah. Namun akan hilang juga murka Allah kepada mereka yang bertaubat dan kembali meng-Esakan Tuhan dengan menganut agama Islam.

Sepertilah seorang ibu yang begitu sayang kepada anaknya. Apa saja permintaan si anak, ibu akan berusaha memenuhi kehendaknya. Cuma kadangkala apabila anaknya berbuat kesalahan atau kejahatan, akan timbul rasa marah, kecil hati dan tidak suka pada tingkah laku anaknya. Tetapi apabila si anak meminta maaf serta mengubah kelakuannya pasti ibu akan segera memaafkan. Si ibu akan kembali melahirkan kasih dan sayang terhadap anaknya.
Kemarahan si ibu hanya sekali sekala iaitu apabila anaknya melakukan kesalahan. Kemarahan tersebut bukanlah suatu sifat yang tetap dan sentiasa ada tetapi datangnya sesekali.
Begitulah hakikatnya murka Allah sebenarnya adalah diselaputi Rahmat ( Kasih Sayang) Tuhan yang Maha Perkasa. Ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap bencana yang menimpa akibat kemurkaan Allah.

Murka Allah bukanlah sengaja di ada-adakan, tetapi ada sebab-sebabnya. Sekiranya kita tergolong di kalangan orang yang sentiasa mengingati Allah sewaktu ditimpa kesusahan, kegelisahan dan bala, pasti kita akan dapat rasakan belaian kasih sayang Allah yang tersembunyi di sebalik setiap kesusahan yang menimpa kita. Hanya orang-orang yang tidak pernah pedulikan Allah sahaja yang merasakan ujian dan bala yang menimpa itu adalah untuk menyusahkan dan menyiksa diri mereka.


Begitu baiknya Allah terhadap makhluk-Nya. Marah Allah adalah kerana sayang bukan kerana benci. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah setelah menciptakan makhluk, Dia tulis suatu tulisan di samping-Nya di ‘ Arasy:  Kasih SayangKu mengatasi kemurkaanKu.”

Sunday, June 17, 2012

MEMISKINKAN DIRI ITU ADALAH PERLU


Dunia ini Allah punya. Segala-gala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan, kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita manusia tidak memiliki apa-apa. Sebaliknya kita dimiliki.
Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan dan wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, adalah milik Tuhan.
Kita sebagai manusia, dalam keaadan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai banyak harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil dan guna sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita itu tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk kemaslahatan masyarakat.
Wang bukan segalanya
Allah SWT jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hamba-Nya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah SWT kurniakan itu cukup untuk semua hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada golongan yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.
Allah jadikan miskin dan kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan wujud dan tidak akan berkembang.
Manusia hanya akan sibuk mencari makanan sehari-hari untuk diri dan keluarga masing-masing. Semua manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak akan berlaku interaksi, usahasama, kerjasama, khidmat dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak akan ada kemajuan dan pembangunan. Tidak akan terbangun masyarakat, tamadun dan peradaban. Semua manusia akan hidup macam orang asli atau kaum aborigin yang semuanya sama-sama miskin.
Kekayaan bukan bahagia
Sebaliknya kalau dalam masyarakat manusia itu semuanya kaya-kaya belaka, maka kekayaan itu tidak ada apa-apa makna. Orang kaya akan menjadi susah juga. Siapa yang akan menanam padi. Siapa yang akan ke laut menangkap ikan. Siapa yang akan menternak lembu, kambing dan ayam. Siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan. Bukankah ini semua kerja orang miskin. Apa yang orang kaya hendak makan. Takkan hendak makan duit, emas, perak, intan dan berlian. Siapa yang akan bina rumah, buat jalan, angkut sampah, potong rumput, menjadi pekerja bekalan air dan elektrik dan beribu-ribu macam khidmat lagi.
Kalau hendak gerakkan industri dan ekonomi siapa pula yang akan jadi buruh. Siapa yang akan jadi pekerja. Siapa yang akan jadi penyelia. Akhirnya siapa yang akan jadi pembeli atau pengguna bagi produk, barangan dan khidmat yang dikeluarkan.
Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenalmengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.
Namun begitu, rezeki dan kekayaan yang Allah limpahkan ke bumi ini adalah untuk semua manusia walaupun pembahagiannya tidak sama banyak dan tidak sama rata. Justeru itu apabila ada orang atau pihak yang tidak menjaga dan tidak mentadbir harta dan kekayaan yang Allah amanahkan kepada mereka dengan baik, maka akan berlakulah bencana. Apabila orang kaya tidak menyama-ratakan harta kekayaan mereka kepada fakir miskin dan yang memerlukan, maka akan datanglah malapetaka. Apabila orang kaya mula merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka sendiri dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala dari Tuhan.
rintihan anak kecil
Rezeki, harta dan kekayaan Allah itu adalah untuk semua manusia dan masyarakat, bukan untuk manusia yang tertentu sahaja. Ia mesti disamaratakan. Kalau tidak akan timbul kelas dan kasta kaya miskin dalam masyarakat yang satu sama lain benci-membenci, curiga-mencurigai, hina-menghina dan dengki- mendengki. Masyarakat akan menjadi kucar-kacir, kacaubilau, bergaduh dan berkelahi. Akan berlaku berbagai bentuk jenayah dan penindasan. Hilang ukhwah dan kasih sayang. Manusia tidak kira kaya atau miskin semuanya akan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.
Oleh itu, semua manusia terutama yang kaya, perlu memiskinkan diri. Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskinkan diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata. Kalau pun kita kaya dan berharta, kita tahu dan kita sedar bahawa kita sebenarnya miskin. Kekayaan yang ada itu adalah amanah dari Allah yang wajib kita jaga dan tadbirkan mengikut kehendak-Nya. Kita boleh ambil setakat mana yang perlu sahaja dan menggunakan yang selebihnya untuk golongan fakir miskin dan masyarakat. Memiskinkan diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada golongan fakir, miskin dan masyarakat.
Inilah sebenarnya erti zuhud.
Zuhud bukan bermaksud tidak kaya atau tidak berharta. Zuhud ertinya tidak merasakan kekayaan dan harta itu kita punya.
Zuhud ertinya merasakan harta dan kekayaan itu kepunyaan Allah yang perlu diagihkan kepada yang berhak.
Zuhud ertinya mempunyai kekayaan di tangan tapi tidak di hati.
Orang yang zuhud ialah orang yang telah memiskin dirinya hingga mudah baginya menggunakan kekayaannya untuk masyarakat dan golongan yang memerlukan.

Friday, March 23, 2012

Siapakah Sheikh Ahmad Badawi?


Selawat Badawi

SELAWAT BADAWI

اللهم صل وسلم على نورالأنوار،

 وسرالأسرار وترياق الأغيار،

 ومفتاح باب اليسار,

  سيدنا ومولانا محمد المختار،

 وآله الأ الأطهار،  وأصحابه الأخيار،

 عدد نعم الله وأفضاله.

Siapakah Sheikh Ahmad Badawi?
Bagaimana Ahmad Al Badawi mendapatkan Selawat Badawi?
  1. Sheikh Sayid Ahmad Al Badawi merupakan seorang wali Allah dan pengasas tariqat Al Ahmadiah Al Badawiyah. Dia dilahirkan di Fez, Maghribi pada tahun 596 Hijrah dan wafat di Tanta, Mesir pada tahun 675 Hijrah. Dia terkenal dengan kezuhudannya serta karamah-karamah yang berlaku pada dirinya.
  2. Semenjak kecilnya lagi dia telah digelar Al Badawi kerana kecenderungannya menutup wajah seperti gaya masyarakat Badwi. Semasa di Fez, dia dibawa abangnya Sayid Al Hasan bertemu dengan Syeikh Abdul Jalil Al Naisaburi yang telah melihat kematangan rohnya lalu mengijazahkannya amalan tariqat dari Imam Daud At Ta’i.
  3. Semasa di Mekah, beliau merupakan pendekar berkuda yang paling handal dan berani sehingga digelar Al ‘Atthab (pematah serangan musuh). Semenjak berkenalan dengan dunia Sufi, Sheikh Ahmad Al Badawi banyak beruzlah dan antara tempat kegemarannya ialah di Jabal Qubais berhampiran Masjidil Haram.
  4.  Selama kembali menetap di Tanta, beliau selalu berpuasa selama 40 hari berturut-turut tanpa makan dan minum  tidak tidur serta tidak turun dari bumbung rumah (tingkat atas) kecuali setelah 40 hari untuk berbuka. Muridnya yang naik untuk bertemu dengannya selalu mendapatinya dalam keadaan mendongak ke langit dengan mata yang kemerahan. Semasa di sini lah beliau mengarang dan mengamalkan selawatnya yang terkenal sebagai Selawat Al Badawi atau Selawat Al Anwar itu sebagai sebahagian dari usahanya untuk menghampirkan dirinya kepada Tuhan. Di samping itu beliau sentiasa bermunajat agar dikurniakan ma’rifah fillah.
  5. Kesimpulannya manusia yang Allah dan Rasul pilih untuk mendapatkan Selawat Badawi, mengenali Rasul akhir zaman ialah seorang yang juga agung peribadinya.