Nur Muhammad

Wednesday, March 31, 2010

Hakikat Sakit dalam Islam


HAKIKAT SAKIT DALAM ISLAM
Fatih313
Menurut Ajaran Islam, Apabila disebut manusia, di mana harus bermula? Tuhan yang mencipta alam semesta termasuk manusia, maka Tuhanlah yang memberi jawapan kepada persoalan di mana harus bermula. Allah telah memberitahu dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Tuhan tidak mengubah sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.” (Ar-Ra’d: 11).
Apa yang Tuhan maksudkan ‘mengubah apa yang ada dalam diri’ ialah perubahan roh, nafsu atau emosi dan akal, sementara fizikal mengikut sahaja. Unsur roh, nafsu atau emosi dan akal itu merupakan unsur-unsur yang memang sifatnya boleh bahkan sentiasa berubah. Namun yang paling utama sebagai paksi atau pusat perubahan itu adalah roh atau hati. Roh atau hati merupakan raja diri. nafsu, akal dan jasad diperintah oleh roh atau hati. Sikap, tabiat atau akhlak lahiriah manusia itu terbit dari hati. Apabila disebut perasaan ia sangat berkait rapat dengan hati ini bermakna rasa yang terbit daripada hati.
Islam telah menetapkan bahawa ujian sakit ini adalah dengan izin Tuhan dan setiap sakit ada ubatnya melainkan mati. Tuhan menjadikan sakit juga sebagai penghapusan dosa (kifarah) serta untuk meningkatkan darjat seseorang. Selain itu, sebagai cara Tuhan menginsafkan seseorang atau mungkin juga kutukan Tuhan kerana kezaliman seseorang.
Tujuan utama merawat sakit dalam Islam adalah merawat hatinya, di zaman moden kita kebanyakan manusia mengalami tekanan perasaan yang boleh menyebabkan sakit jiwa seperti buruk sangka, pemarah, putus asa dan sebagainya. Hati atau jiwa yang tidak tenang dengan erti kata lain tiada bahagia, ini boleh menyebabkan gangguan kepada mental ataupun disebut masalah psikitari. Apabila hati ini rasa bahagia maka manusia itu akan baik akal, nafsu dan jasadnya (fizikal). Kesihatan lahir manusia sangat berkait rapat dengan kesihatan roh atau hati, asas setiap ubat ialah dengan merawat hatinya.