Nur Muhammad

Friday, October 5, 2012

SIAPAKAH ORANG YANG BERJAYA?

Allah SWT menyebut di dalam ayat “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan nafsunya dan kecewalah orang yang mengotori nafsunya.” (As Syams: 9-10), yakni siapa yang dapat bersihkan nafsunya dari mazmumah, dia akan mendapat kejayaan. Dia akan mendapat kejayaan di Akhirat. Tentulah dia juga akan mendapat kejayaan di dunia kerana setelah mendapat kejayaan di dunia dahulu, baru kita boleh dapat kejayaan di Akhirat. Kejayaan di Akhirat tentulah kejayaan mendapat Syurga. Mendapat Syurga itu ditentukan di dunia lagi.
Kejayaan di dunia itu ialah apabila kita boleh membersihkan nafsu dari mazmumah iaitu dari sifat-sifat batin yang keji. Contoh sifat-sifat batin yang keji itu, yang besar-besarnya adalah seperti syirik, sombong, hasad, pemarah, tamak, bakhil dan lain-lain. Semuanya ada 10 sifat mazmumah yang besar. Lawannya iaitu sifat mahmudah yang besar pun ada 10. Itu sudah selalu kita perkatakan.
Mengapa Tuhan kata siapa yang boleh bersihkan nafsunya maka dia berjaya di dunia? Bagaimanakah yang dikatakan berjaya di dunia itu? Kita tahu berjaya di Akhirat itu akan mendapat Syurga. Berjaya di dunia itu bagaimana pula? Yang dimaksudkan berjaya di dunia itu adalah:
1. Apabila seorang itu berjaya membersihkan nafsunya dari mazmumah.
Siapa boleh membersihkan nafsunya dari mazmumah, dia boleh berjaya di dunia. Tuhan tidak katakan menang tetapi Tuhan sebut, “Qod aflaha… – ” yakni berjaya. Asal perkataannya ialah ‘falaha – ‘ (kejayaan). Sebab itu dalam bahasa Arab, petani itu disebut, ‘fallah – ‘ iaitu sangat berjaya dan sangat berjasa. Dahulu, orang tidak berapa pandai berniaga, jadi petani dianggap orang yang sangat berjaya kerana mereka banyak mengeluarkan hasil. Sebab itu petani disebut fallah, menggunakan isim mubalaghah, iaitu sangat berjaya sebab mereka beri makan kepada rakyat. Petani bukan hanya menanam, dia juga bela kambing, kerbau dan ikan. Di zaman moden ini, orang yang berniagalah dianggap yang dapat kejayaan sebab mereka banyak dapat untung.
Jadi dalam ayat Quran ini Allah kata, siapa yang dapat membersihkan nafsunya daripada mazmumah seperti syirik, bakhil, pemarah, hasad dengki, riyak, ujub dan lain-lain, inilah orang yang mendapat kejayaan. Ertinya di dunia lagi sudah dapat kejayaan. Apakah pula kegagalan itu? Bagi yang tidak dapat bersihkan nafsunya, ertinya dia kekal dengan mazmumah. Itulah kegagalan. Oleh kerana dia kotorkan nafsunya dengan mazmumah maka dia dianggap orang yang gagal. Gagal yang bagaimana? Nafsu ini jahat. Dalam ayat Quran, Allah SWT berfirman: ”Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)
Tuhan gunakan isim mubalaghah juga. Nafsu itu sangat jahat dan menyeru orang berbuat jahat. Bila nafsu sudah jahat, ia menjadi highway bagi syaitan untuk bergerak. Kalau highway tidak ada, syaitan jalan di tepi-tepi sahaja. Bila ada highway, dia terus masuk ke dalam.

Berdoalah

2. Apabila dapat tegakkan syariat
Apabila orang itu dapat membersihkan nafsunya daripada mazmumah kepada mahmudah, maka dia akan berjaya tegakkan syariat. Nafsu yang jahatlah yang menyebabkan orang tidak boleh tegakkan syariat. Nafsu bekerjasama dengan syaitan. Jadi berjaya itu ialah berjaya membangunkan syariat dalam hidup yakni berjaya berkasih sayang, jadi orang yang pemurah, yang tinggi kemanusiaannya, berjaya bekerjasama, berjaya bersatu padu, sanggup berjuang sedangkan nafsu tidak mahu berjuang, berjaya memberi maaf dan meminta maaf serta lain-lain lagi. Kalau mazmumah penuh bersarang di hati, semua ini tidak akan dapat dilakukan.
Jadi bila seseorang itu dapat bersihkan nafsunya maka dia berjaya yakni berjaya tegakkan syariat sebab nafsulah yang menghalangnya menegakkan syariat, dengan kerjasama syaitan.
Sebaliknya kalau kita tidak berjaya bersihkan nafsu, ertinya kita gagal. Gagal di dunia dan di Akhirat tempatnya di Neraka. Gagal berkasih sayang, gagal menolong orang, gagal bersatu padu, gagal simpati dengan orang susah, gagal berjuang dan lain-lain lagi. Rupanya syariat lahir dan batin tidak boleh ditegakkan kerana ada peranan nafsu yakni apabila orang lupa bersihkan nafsunya daripada mazmumah. Ramai orang sembahyang tetapi lupa hendak bersihkan nafsu dari mazmumah. Dia sembahyang hendakkan fadhilat dan pahala. Dia tidak terfikir hendak tumpaskan nafsu. Begitu juga buat haji, umrah kerana fadhilatnya besar. Tidak terfikir hendak tumpaskan nafsu.

Ertinya, walaupun seseorang itu banyak ibadah, wirid zikirnya dan lain-lain lagi tetapi selagi tidak boleh bersihkan nafsunya, dia dianggap gagal kerana gagal untuk bangunkan syariat dalam hidupnya sama ada syariat lahir mahupun syariat batin. Syariat lahir seperti yang dikatakan tadi iaitu berkasih sayang, bersatu padu, bertimbang rasa, suka tolong orang dan suka berkhidmat kepada manusia. Orang gagal untuk bangunkan syariat kerana dia lupa hendak perangi nafsunya, padahal tujuan ibadah-ibadah asas itu ialah untuk perangi nafsu. Soal fadhilat itu tidak perlu kita minta atau kita fikirkan. Itu hak Tuhan. Kalau kita tidak tahu fadhilat sesuatu ibadah, pun tidak apa. Apabila kita tidak tahu fadhilatnya, kita lebih ikhlas. Kalau tahu, nanti bercampur pula niat kita dengan niat hendakkan pahala yang besar. Ini lagi bahaya.
Kadang-kadang ada orang buat ibadah tetapi ibadahnya tidak mengubat nafsu. Tidak jadi ubat untuk buang mazmumah. Jadi orang yang tidak sanggup mengubat nafsu, yang mengotori nafsunya, yang tidak boleh buang mazmumah, dianggap gagal. Orang yang tidak boleh buang mazmumah ini ertinya dia tidak pernah berjuang. Orang fikir berjuang itu jihad Palestin, (melawan musuh lahir). Pernahkah orang yang hendak berpuasa terfikir, “Aku hendak puasa ini untuk tekan nafsu aku?” Yang orang fikir, “Aku nak puasa sunat Isnin Khamis ini untuk dapat pahala dan fadhilat.” Dia sudah tertipu. Dia tonjol pahala dan sorok mazmumahnya. Mana orang terfikir buat ibadah itu untuk perangi mazmumah. Dia hanya fikir pahala. Itulah yang diajar oleh tok-tok guru kita. Kalau orang buat ibadah pun tidak ada cita-cita untuk perangi nafsu, lagilah orang yang tidak beribadah.
Lupakan sahaja soal pahala dan fadhilat. Ibarat kita makan gaji. Tidak payah kita fikir selalu tentang gaji. Kalau kita kerja dengan baik, majikan tentu beri gaji walaupun kita terlupa tentang gaji. Begitulah pahala dan fadhilat itu diberi Tuhan. Kalau betul, kena cara dan jalannya, Tuhan mesti beri. Tidak payah kita sebut atau kita fikirkan. Patutnya kita fikir, dengan ibadah itu sama ada wajib atau sunat, adalah untuk perangi nafsu. Sebab Tuhan kata, kalau nafsu tidak dibersihkan, kita dianggap gagal. Kalau gagal, dikira orang yang kecewa dalam hidupnya. Bila kecewa dalam hidup, di Akhirat akan masuk Neraka.
Siapa yang membersihkan nafsunya, inilah orang yang berjaya di dunia dan akan mendapat Syurga di Akhirat. Kejayaannya ialah berjaya bangunkan syariat lahir dan batin. Sebab yang menghalang manusia dari membangunkan syariat ialah nafsu dan syaitan. Bahkan sudah dikatakan tadi bahawa orang yang sembahyang, puasa dan orang yang naik haji pun gagal. Orang berjuang lebih-lebih lagi gagal. Kenapa? Kita lihat orang sekarang berjuang, dia baja nafsunya. Mereka yang militan bukan membersihkan nafsunya sebaliknya mereka suburkan nafsunya. Mereka adalah orang yang gagal melawan nafsu. Ertinya gagal membangunkan syariat.
Itulah yang Allah maksudkan dengan ayat: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan nafsunya dan kecewalah orang yang mengotori nafsunya.”
Kalau orang Islam yang boleh beribadah, berjuang, boleh belajar pun gagal melawan nafsu, maka apatah lagi orang yang tidak beribadah, tidak belajar dan tidak berjuang. Tentulah lemas dalam nafsunya. Jarang orang berfikir hendak lawan nafsu. Orang hanya fikir pahala dan fadhilat. Tuhan tidak kata, siapa yang tidak dapat pahala itu gagal tetapi Tuhan kata kalau tidak boleh bersihkan nafsu, itu gagal. Orang yang tidak mampu maafkan orang, itu dari nafsu. Tidak simpati dengan kesusahan orang, itu juga nafsu. Tidak mampu hendak minta maaf sehingga rasa hendak minta maaf itu, jatuh wibawanya dan rasa macam hendak tercabut nyawa, itu juga dari nafsu. Padahal ianya mudah sahaja untuk dibuat tetapi kerana nafsu, terasa berat.
Benarlah Tuhan kata, siapa yang bersihkan nafsunya, adalah orang yang berjaya yakni berjaya menegakkan syariat dan berjaya ke Syurga. Siapa yang tidak boleh bersihkan nafsunya dianggap gagal sekalipun kuat ibadahnya. Gagalnya itu bermakna tidak mampu tegakkan syariat dalam hidup sama ada syariat lahir atau batin. Di dunia dia gagal. Tuhan tidak pandang ibadahnya, puasanya, hajinya, jihadnya sebab dia gagal. Dia gagal mendidik nafsu. Di Akhirat, orang gagal akan ke Neraka.
Begitulah lebih kurang tafsiran ayat tadi. Moga-moga kita boleh faham, boleh hayati dan boleh laksanakan dalam hidup kita. Moga-moga kita dianggap orang yang berjaya. Di Akhirat akan dapat Syurga. Sudah begitu cara Tuhan. Orang yang berjaya dapat Syurga. Orang yang gagal bersihkan nafsunya, dianggap gagal di dunia kerana gagal menegakkan syariat dan di Akhirat akan ke Neraka. Moga-moga dari huraian ini, kita boleh dapat ilmu, boleh laksanakan dalam hidup kita dan moga-moga kita boleh jadi orang yang berjaya.