Nur Muhammad

Friday, July 26, 2013

CARA MEMBAIKI DIRI DI BULAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran. Bulan yang diturunkan rahmat dan berkat. Bulan diampunkan dosa. Bulan yang kebaikannya diganda-gandakan Tuhan. Bulan yang didalamnya berlaku Lailatul Qadar. Yang mana siapa yang dapat beribadah tepat pada malam Lailatul Qadar seolah-olah dipanjangkan umur. Seolah-olah mereka pernah beribadah selama lebih 1000 bulan, yakni lebih dari 83 tahun. Inilah antara Rahmat Tuhan kepada orang yang bertaqwa atau yang bercita-cita menjadi orang bertaqwa. Ini satu anugerah Tuhan.

Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah raja segala bulan. Pada bulan ini, Tuhan menyuruh kita berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu malamnya. Oleh kerana Tuhan hendak memberi pahala yang besar, terutama yang mendapatkan Lailatul Qadar, ini mesti ada rahsia dari Tuhan, mengapa Tuhan pilih bulan Ramadhan, mengapa begitu besar pahalanya di sisi Tuhan. Ini tak berlaku di bulan-bulan lain. Lebih-lebih lagi dosa-dosa kita semua diampunkan.

Kejadian Manusia
Kalau kita hendak bercerita mengenai hal ini, ia ada hubungan dengan kejadian manusia itu sendiri. Mungkin kebanyakan orang tidak mengetahui yang manusia itu kejadiannya terdiri daripada 4 unsur. Iaitu:-
1. jasad lahiriah
2. akal
3. roh
4. nafsu.

* Peranan jasad hanya bertindak, berbuat, melaksana.
* Peranan akal menerima ilmu, menerima maklumat. Samada maklumat itu betul atau tidak, memberi manfaat atau tidak, dia hanya mengumpulkan saja maklumat itu.
* Peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Saya ulang lagi, peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Kehendak samada yang baik atau yang buruk, halal atau haram, positif ataupun negatif..
* Peranan hati hanya semata-mata merasa. Rasa-rasa itulah yang datang dari akal, dari fizikal, dan yang datang dari tindakan nafsu. Hati atau Roh ini umpama raja di dalam diri manusia.
Jadi kalau nafsu, akal dan fizikal baik, dia akan membangunkan jiwa2 yang baik.
 
Kalau nafsu, akal dan jasad jahat maka roh atau hati yang merupakan raja dalam diri dia akan jahat, Kalau roh baik, maka baiklah hati.
Ini kita dapat lihat atau boleh kita misalkan raja sebuah Negara. Kita lihat kadang-kadang raja itu jadi jahat oleh orang dikiri dan kanannya, iaitu pemimpin-pemimpin yang rosak. Tetapi kadang-kadang raja itu menjadi baik, juga akibat orang-orang di kiri kanannya, macam penasihat yang baik, maka jadi baiklah raja itu.
Jadi kejadian manusia ini Tuhan yang menjadikannya.Tuhan Maha Mengetahui bagaimana manusia itu boleh menjadi baik dan bagaimana menjadi jahat, sebab itu Tuhan dengan kuasanya, kalau manusia itu jahat bagaimana Tuhan mengubatnya, kalau dia sudah baik bagaimana hendak dijaga supaya dia tidak menjadi jahat semula.
Manusia yang ada 4 unsur tadi di waktu alam roh, sebelum dilahirkan tubuh kasarnya, dia sudah kenal Tuhan, taat dan takutkan Tuhan dan dia sangat baik. Tetapi apabila roh sudah masuk dalam sarangnya [jasad], lalu dilahirkan bersama sarangnya, maka tiga unsur yang lain tadi yang boleh mempengaruhi hatinya, sekiranya baik, maka roh manusia yang jadi raja diri itupun menjadi baik.
Pada manusia itu sebenarnya ada unsur malaikat, syaitan, haiwan dan manusia. Kalau begitu, berdasarkan unsur-unsur tersebut,maka manusia boleh menjadi malaikat yang berupa manusia, atau binatang atau syaitan yang berupa manusia.. Bila manusia kekal sebagai manusia maka dia normal.
Tidak boleh dikatakan manusia malaikat atau manusia haiwan, tidak boleh juga dikatakan manusia syaitan. Manusia normal ini biasa sahaja.
Tuhan lahirkan manusia itu untuk dijadikan manusia malaikat, yang luarannya berupa manusia, rohnya pula bersifat malaikat, baru boleh menjadi orang bertaqwa.
Kuliah ini terasa susah sikit jadi kena berhati-hati yang mendengar lagi susah. Kena ambil perhatian kalau tidak dia mudah mengantuk dan bosan. Tajuk ini penting.
Hakikatnya, Tuhan teramat tahu kelemahan manusia yang mana dalam satu tahun ada 12 bulan manusia hidup, bergerak, dengan aktiviti, berjuang, berjihad, bekerja, berfikir. Selalunya majorit akal dan nafsulah yang mempengaruhi hatinya.Menjadikan roh manusia itu rosak. Jika sudah sedia rosak bertambah rosak. Kalau dia sudah baik, roh yang asal kejadian bersifat malaikat, turun pada martabat manusia, iaitu normal. Jarang yang sudah rosak bertambah baik. Yang baik ertinya sewaktu bersih itu digilap sampai bercahaya. Yang sudah bersedia bercahaya, bertambah lagi pancaran cahayanya. Perkara ini jarang berlaku, ia berlaku pada golongan sedikit.
Sebab itu Tuhan ingatkan dalam Quran, “Hanya sedikit hamba-hambaKu yang bersyukur”.Maka disinilah dengan Rahmat dan kasih sayang Tuhan, Tuhan tentukan pada orang Islam, 12 bulan itu diadakan satu bulan untuk baiki diri dalam setahun. Diri yang sudah rosak sepanjang 11 bulan, dirosakkan oleh nafsu terutamanya. Yang kedua dirosakkan oleh cara berfikir kerana menerima maklumat2 yang salah dan dirosakkan oleh fizikal, arahan nafsu dan akal.
Maka dengan kasih sayang Tuhan dijadikan sebulan dalam setahun itu supaya manusia itu tidaklah rosak selama-lamanya. Sebulan itu kita diajar bagaimana hendak membaiki diri. Dengan keadilan dan kasih sayang Tuhan daripada 12 bulan itu, sebulan dipilih untuk dipost mortem atau overhaul. Ibarat kereta yang sudah 11 bulan digunakan, lebih-lebih lagi tidak berhati-hati, dilanyak sesuka hati, maka sebulan tu waktu overhaul. Masuk workshop lalu enjin, wire, body, dibetulkan semula. Setelah di overhaul, kereta pulih, enjin baik, body baik, dipandu pun selesa.

Mentadbir dunia
Begitulah manusia, Tuhan tahu, kebanyakan manusia, dalam masa 11 bulan itu hati mereka mudah rosak Dirosakkan oleh nafsu, akal dan fizikal. Bagaimana nafsu merosakkan ?  Tuhan hantar kita ke dunia, disuruhNya kita mengambil dunia, mentadbir dunia, untuk diagih2kan pada orang lain, untuk berkhidmat pada orang lain. Maka tercetuslah kasih sayang, pembelaan, perkhidmatan. Orang yang malang dapat dibela, orang yang miskin dapat dipertanggung jawabkan. Akhirnya lahir kasih sayang antara satu sama lain.
Bukannya kita didatangkan ke dunia mengambil dunia dan untuk cintakan dunia! Saya ulang lagi, Tuhan datangkan manusia ke dunia, untuk mengambil dunia, menggunakan dunia untuk berkhidmat, dan menolong orang. Supaya dengan itu lahir kasih sayang.  Supaya tidak berlaku jurang antara orang kaya dan miskin, antara yang di atas dan yang di bawah, antara pemimpin dengan rakyat. Tuhan mahu kita ambil dunia untuk berkhidmat, untuk mendapat pahala. Untuk dapat melahirkan kasih sayang, bukan untuk dicintai. Yang wajib dicintai hanya satu yaitu Allah. Jadi konsep berhadapan dengan dunia kenalah dibetulkan. Sebab selama ini kita sudah salah faham. Ada orang ambil dunia bukannya dengan dunia itu dapat melahirkan kasih sayang dengan orang lain, sebab dia sudah jatuh hati dengan dunia.
Bila jatuh hati apa yang terjadi ? Ini kerja nafsulah. Bila sudah jatuh hati, datanglah rangsangan, datanglah berkehendak. Itulah kerja nafsu. Yang dimaksudkan dunia itu bermacam-macam. Yang besarnya harta, jawatan, kekuasaan, pangkat, darjat, pengikut yang banyak, nama, glamour. Ini dunia.
Jadi bila kita biarkan nafsu berperanan tanpa dididik, tanpa diikat dengan sifat takutkan Tuhan, cintakan Tuhan, akhirnya Tuhan tidak dicintai atau ditakuti, lalu manusia itu akan cinta sungguh dengan dunianya.
Bila dunia dicintai apa yang akan terjadi dengan kehidupan terutama dengan perasaan ?. Bila tidak dapat hati menjadi susah, bila mahu mendapatkannya, berusaha bertungkus-lumus pagi petang.
Kadang-kadang sampai terlupa uruskan diri sendiri, betapalah hal-hal lain, hal syariat, kerana yang dicinta belum dapat, yang dikasihi belum dapat. Bertungkus-lumus untuk mendapatkannya sampai tidak kira halal dan haram. Bila sudah didapati, berubah pula jadi negatif. Datang perasan sayang, tamak, bakhil yang membuatkan tidak terfikir lagi bagai mana mahu berkorban dan berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimatullah.
Kemudian bila tidak dapat juga datang pula penyakit lain. Hasad dengki dengan orang lain yang mendapatnya. Mungkin boleh sampai bertindak ke atas orang itu, seperti dia memfitnah, dijatuhkan maruahnya atau sehingga sanggup pula membunuh.



Side effect yang lain, sifat-sifat itu bila diketahui oleh orang lain dalam pergaulan, orang lain pun benci, marah, tidak suka, berhasad dengki. Akhirnya unsur-unsur perbalahan akan wujud. Unsur-unsur pergaduhan pun terwujud. Kalau tidak dibendung lama-lama membawa kepada peperangan. Ini semua berpunca daripada cinta dunia.
Sebab itu Rasulullah SAW bersabda .” Hubbuddunya ra’su kulli khatiah…”
Rasulullah SAW bersabda, cinta dunia ibu segala kesalahan.
Rasulullah tidak sebut ibu segala kejahatan. Khatiah itu dalam bahasa Arab, jika diterjemah pada lafaz maknanya kesalahan, bukan kejahatan. Ini ada maksud disebaliknya. Ada orang menterjemahkan – ibu segala kejahatan- sebenarnya tidak begitu. Khatiah itu maknanya kesalahan. Ertinya buat salah dulu, tersalah dulu, tersilap dulu baru datang kejahatan. Dalam berbagai-bagai bentuk.

Pembersihan Roh
Rasulullah SAW juga berkata, cintakan Tuhan itu ibu segala kebaikan. Tetapi kalau dunia dicintai maka berlakulah sebaliknya iaitu ibu segala kesalahan. Bila sudah salah, salah meletakkan cinta dunia tadi, maka akan berbuah segala kejahatan yang berbagai-bagai. Jadi kalau nafsu itu jahat, sudah cintakan dunia maka dia akan memberikan kesan kepada roh. Saya sudah kata roh itu tugasnya hanya berperasaan. Kalau akal, nafsu dan fizikal sudah jahat, yang jahat itulah yang menjadi penasihat pada roh. Apa akan berlaku pada perasaan ? Bukannya akan lahir perasaan yang positif. Berkasih sayang, takut, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, mengutamakan orang lain, tidak berlaku begitu. Akan datang sakit hati, sombong, megah, rasa berdendam, rasa tidak mahu maafkan orang, tidak mahu meminta maaf.
“Kalau minta maaf jatuh wibawa aku, kalau aku bagi maaf pun jatuh wibawa.”
Timbul perasaan-perasaan negatif bukan positif. Sebab itu yang akan dapat nikmat nanti dan yang akan kena azab ialah roh, roh yang kekal. Bukannya nafsu, fizikal dan akal. Jadi Tuhan tahu hal ini, kesan daripada tidak terdidiknya akal, nafsu dan fizikal ini akan mempengaruhi roh. Roh yang kena azab. Maka sebab itu dengan kasih sayang Tuhan, Tuhan bagi orang Islam bulan Ramadhan dengan tujuan membaiki 4 unsur (4 anasir). iaitu dapat betulkan semula rohnya, nafsunya, akal dan fizikalnya.
Setengah orang itu bila boleh membaiki diri di dalam bulan Ramadhan dia akan mendapat kekuatan sampai ke Ramadhan yang akan datang. Bila datang Ramadhan akan datang, roh yang sudah bersih itu tinggal digilap sahaja supaya bercahaya. Roh yang tidak hitam tetapi ada habuk-habuk, ringanlah sedikit, bila datang Ramadhan akan datang maka kalau dia beribadah, habuk itu terbuang,tidaklah begitu teruk membersihkannya. Roh yang bersih, itu orang soleh. Kalau roh bercahaya itu orang bertaqwa, muqarrabin. Orang soleh dalam golongan Ashabul Yamin, .Mereka akan banyak dihisab tetapi tidak dimasukkan ke dalam neraka, cuma akan susah dihisab. Tetapi kalau roh itu bercahaya, datangnya Ramadhan lagi tambah kilauan cahayanya, darjatnya semakin naik. Bagi yang belum sampai ke peringkat wali, bila datang Ramadhan lalu Rohnya semakin bersih bercahaya lagi, jadilah wali, InsyaAllah – orang begini termasuk golongan Muqarabin yang sedikit itu. Di akhirat dia akan termasuk golongan bighairi hisab, tidak payah dihisab. Yang tadi – Ashabul Yamin, kena hisab. Orang kena hisab ni macam kita pergi ke luar Negara, imigresen dan kastam periksa. Jika tiada masalah terlepaslah tapi mungkin mengambil tempoh 3 jam. Di dunia 3 jam pun sudah susah. Di sana kalau ditahan, bukan 3 jam mungkin 50 tahun, mungkin 100 tahun. Cuma tidak kena azab sahaja.
Jadi Tuhan tahu dimana kekuatan dan kelemahan manusia, maka Tuhan suruh kita baiki di bulan Ramadhan. Sebab itu kalau orang boleh pulihkan semula rohnya yang hitam jadi kelabu, yang kelabu dibersihkan habuknya, yang bersih dicahayakan, kemudian bersih dan bertambah darjat kilauan cahayanya, Tuhan bagi pahala berganda-ganda, diampunkan dosanya.
Bila mendapat Lailatul Qadar, Tuhan bagi seolah-olah dia beribadah lebih 83 tahun. Kalau dia dapat 3 kali Ramadan Lailatul Qadar, dan dia berjaya memutihkan dan mencahayakan rohnya ertinya dia hidup beberapa ratus tahun !

Lailatul Qadr
Lailatul Qadar ini, umat-umat sebelum Nabi Muhammad SAW tidak mendapatnya. Tetapi dengan keadilan Tuhan, masing2 dapat menjadi baik, sama2 mendapat kemudahan.Orang zaman dahulu panjang umur, kita pendek umur, tapi boleh mendapat pahala yang sama. Sebab itu umat dahulu ada yang berumur 200 thn, 400 thn. Jika 100 thn dahulu masih dianggap pemuda. Mana yang bernasib baik, sampai 500 tahun, Pada zaman kita sekarang, 20 thn itu muda remaja. Tetapi umat dahulu,mereka tidak mendapat Lailatul Qadar, tidak dapat Ramadan. Rasulullah SAW dipendekkan umur umatnya tapi dilebihkan pahala. Itulah kebesaran RasulullahSAW, dengan kerananya kita mendapat rahmat.
Jadi sebab itu  Tuhan tahu kita ini dipendekkan umur tetapi dikurniakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mana hendak mendapatkan Lailatul Qadar tu bukanlah mudah dan satu kebiasaan. Ibadah puasa yang dibuat itu mestilah sampai dapat memberi cahaya pada hati, paling tidakpun dapat membersihkan hati, hingga menjadi orang soleh yakni golongan Ashabul Yamin. Kalau hati itu sampai bercahaya-cahaya, itu tersangat hebat!. Jadi mari kita lihat, munasabahkah hendak mendapat pahala berganda-ganda, menasabahkah hendak mendapat pahala lebih 1000 bulan, apakah sebabnya yang sampai begitu mujarab, ini jarang dikaji orang.