Akal manusia dan fikirannya boleh menjelajah dunia sehingga tidak ada pelosok dunia yang otaknya tidak menjejaki dan menjelajahinya. Kaki otaknya begitu panjang sekali, tidak ada ruangan-ruangan dunia ini yang tidak dipijak manusia. Kerana itu berbagai-bagai ilmu, bermacam-macam maklumat, berbagai-bagai pengalaman yang manusia perolehi.
Manusia boleh tahu di atas gunung, di dalamnya, di bawah bumi, apatah lagi di dasarnya, di lautan dan di dasarnya. Habis semuanya dijelajahi. Padang pasir, gurun, di perut bumi, sungai kecil dan besar, otaknya selongkari hingga terdedah dan terbongkar semuanya. Otak manusia menerokai empat penjuru dunia, Kutub Utara, Kutub Selatan, Timur dan Barat. Otaknya boleh teroka dan jelajahi hutan belantara.
Berbagai-bagai kehidupan dapat diketahui di samping khazanah bumi yang lain. Habis seluruh khazanah dunia ini otak mereka kumpulkan. Seolah-olah dunia ini kecil sebesar dulang, manusia berada di hadapannya melihat seluruh isinya. Tidak ada apa yang tidak dapat dilihat dan pastikan. Semuanya dapat manusia perhatikan dan mengetahui rahsia-rahsianya. Sungguh hebat otak manusia, boleh mengembara ke seluruh dunia, menjelajahi seluruh pelosoknya, menjejaki bukit dan lurahnya. Apatah lagi kalau kaki manusia boleh membawa mengembara sama otaknya ke seluruh dunia. Maka otak bertambah rata lagi. Mengembara di pelosok dunia, melihat dari dekat, dapat mengesan lebih dalam lagi rahsia dunia ini, lebih banyak lagi rahsia bumi dan alam Tuhan ini menjadi maklumatnya.
Begitulah kebolehan otak manusia, ia boleh mengetahui rahsia dunia dan seluruh isinya sebagai maklumat seolah-olah otak manusia macam burung, boleh terbang di seluruh dunia. Atau dunia ini macam sebesar dulang, seluruh apa yang ada di dalam dulang dapat dilihatnya. Kalau begitulah keadaan otak manusia, otak seolah-olah bebas, merdeka, terlalu jauh perjalanannya, terlalu luas dunia kehidupannya. Begitulah kebolehan otak yang dicipta oleh Allah Taala yang Maha Berkuasa, kebolehannya luar biasa.
Namun begitu, walaupun kemampuan otak manusia bebas, merdeka, gelanggang kehidupannya begitu luas, tapi apabila jiwa manusia itu sempit kerana tidak ada iman atau lemah iman kerana tidak bersama dengan Tuhan, manusia tetap hidup terseksa, sengsara, seolah-olah hidup di dalam jel yang sempit, gelap-gelita pula. Di waktu itu otak tidak boleh buat apa-apa, tidak berfungsi, dia tidak boleh menolong manusia. Dia juga ikut sama hidup di dalam kurungan yang sempit itu. Kakinya ikut terbelenggu, seolah-olah dirinya tidak boleh pergi ke mana-mana. Di waktu itu fikiran buntu oleh penjara itu, ilmu dan maklumat-maklumat tidak berguna lagi di waktu itu.
Apa buktinya? Banyak sangat buktinya kerana ia sering berlaku di dalam kehidupan ini. Contohnya, apabila datang ujian atau bala bencana, seperti jatuh miskin, dileter oleh isteri, bankrapsi, dibuang kerja, sakit yang berat, patah kaki, kena tangkap, dimasukkan ke dalam jel, kena ISA dan lain-lain lagi, masya-Allah, jiwanya yang sempit kerana tidak beriman atau lemah iman itu seolah-olah menjerit-jerit cuma tidak didengarinya. Terasa sakit. Bumi yang luas dirasakan sempit, badan macam kena himpit seolah-olah masuk ke bumi. Fikiran yang selama ini begitu bebas, merdeka, mempunyai maklumat yang luas, telah terbang dan hilang kecerdikannya, tidak boleh membantu. Keadaan berfikir pun tidak menentu. Perasaan jadi tidak normal dan melulu, sesetengah pegangan hilang, keyakinan berubah 90 darjah.
Baru kita faham, kalau akal sahaja kuat dan merdeka sedangkan jiwa lemah dan tidak merdeka, akhirnya akal juga turut lemah hingga tidak berfungsi mengakibatkan segala-galanya berubah. Berubah sikap, berubah watak, berubah tabiat, berubah akhlak, berubah pakaian. Yang tidak berubah hanyalah nama dan warna kulit. Tapi yang bersifat maknawi dan rohaniah berubah semuanya. Amat terkejut dan mengejutkan, hairan menghairankan, tercengang-cengang orang dibuatnya.
Begitulah apabila jiwa lemah kerana kelemahan iman atau sudah tidak ada iman, jiwa rasa sempit apabila kena ujian atau ditimpa bala. Macam burung duduk di dalam sangkar yang sempit, menggelupur tidak keruan, menyondol sana, menyondol sini hingga tercabut bulu, terkopek kulit kepala. Sebab itulah Islam menyuruh penganutnya jangan hanya menguatkan akal semata-mata tapi yang penting daripada itu hendaklah sentiasa kuatkan jiwa. Jiwa hendaklah dikuatkan dengan iman dan sifat-sifat taqwa agar apabila diuji, jiwa tidak sempit. Jiwa tidak menderita. Segala keyakinan dan pegangan beragama tidak hilang atau tidak berubah. Fikiran tetap dengan kemerdekaannya kerana jiwa stabil dan normal, tidak terjejas oleh ujian.
Oleh itu jangan kita biarkan jiwa kita terkurung oleh dunia dan masalah. Jangan penjarakan dia di dalam keseksaan nafsu yang memang tidak suka jiwa kita bebas dan merdeka. Jangan biarkan dia diseksa oleh ujian-ujian yang mendatang. Sepatutnya kita biarkan dia terbang hingga bukan sahaja menjelajahi dunia ini tetapi biarkan dia menjelajahi alam malakut, alam rohaniah yang lebih tinggi lagi atau alam ukhrawiah agar dia bebas sebebas-bebasnya, agar dia merdeka, supaya jangan terasa dia hidup sempit dan terhimpit.
Di samping itu yang lebih penting lagi hendaklah manusia jadikan jiwanya selalu bersama Tuhan. Pergilah dan bawa ke mana-mana bersama Tuhan, jangan biarkan dia keseorangan. Kita jadikanlah Tuhan sebagai kawan jiwa kita. Janganlah lepaskan dia daripada berkawan dengan Tuhan.
Firman Allah SWT: “Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, berbaring dan di waktu duduk, mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, jauhilah kami dari azab api Neraka.” (Ali Imran: 191)
Di waktu itu masalah kehidupan dunia tidak akan menggugat. Ujian dan bala bencana tidak akan dapat mengurungnya. Nafsu tidak akan dapat memenjarakannya. Di waktu itu jiwa kita tidak akan tergugat, dia tetap bebas dan gagah, merdeka dan kuat serta pegangan kita tidak akan berubah.
"Pendidikan bermula dengan terdidiknya hati(roh), nafsu dan akal manusia, fizikal hanya mengikut sahaja"
Friday, April 22, 2011
Friday, April 1, 2011
ALLAH ADALAH SUMBER BAHAGIA
Allah Taala adalah sumber bahagia
Ini bukan semua orang yang boleh merasaIni hanya dapat dirasa oleh jiwa yang bertaqwa
Berdoa sahaja sudah rasa sedap
Sekalipun belum tentu dikabulkan doa
Bercakap-cakap dan berbisik-bisik dengan Tuhan
Sudah terasa lazatnya
Bermunajat dengan-Nya terasa indahnya
Allah Taala terasa dekat
Tapi tidak berantara dan bercara
Ia terasa ada di mana-mana
Tapi tidak ada di sana
Kita terasa sangat Ia bersama kita
Semuanya tidak bercara
Tuhan dirasakan sangat diperlukan
Masya-Allah indahnya bertuhan
Rahmat-Nya dan kurniaan-Nya seperti dirasakan
Sama ada yang nyata mahupun yang tidak nyata
Setiap detik dia mengurniakan
Allah! Allah! Allah!
Besarnya erti hidup bersama Tuhan
Tuhan adalah hidup mati kita
Tuhan adalah segala-galanya
Jangan lupakan Tuhan!
Tuesday, February 1, 2011
Sembahyang Membina Peribadi Agung
KEKUATAN SESUATU BANGSA
Di dalam sejarah tamadun manusia, ada bangsa-bangsa yang telah menempa sejarah yang agung. Bangsa-bangsa itu dianggap agung kerana kedudukan dan martabat mereka yang jauh lebih tinggi dari bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan mereka. Mereka itu agung kerana mereka:
- Bangsa yang berjiwa besar
- Berwibawa
- Bertamadun
- Disegani
- Dihormati
- Maju
- Mengatur
- Banyak memberi khidmat kepada bangsa lain
Bangsa-bangsa yang lemah dan mundur mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat negatif yang menyebabkan mereka itu tidak boleh maju dan ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Di antara ciri-ciri dan sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:
- Pemalas
- Berjiwa kecil
- Penakut
- Suka meminta-minta (bantuan dan subsidi)
- Lemah jiwa. Mudah putus asa dan kecewa
- Tidak ada keyakinan diri
- Tidak ada cita-cita untuk bangsanya. Mereka hanya ada cita-cita peribadi, untuk hidup senang dan untuk makan sendiri sama ada pemimpin dan orang besarnya ataupun rakyatnya.
Bangsa-bangsa yang kuat dan agung pula mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang jauh berbeza. Mereka sebaliknya mempunyai berbagai-bagai sifat positif yang dapat memberi kekuatan kepada mereka. Sifat-sifat itu termasuklah:
- Rajin
- Berjiwa besar
- Berani
- Tidak suka meminta-minta dan sangat berdikari
- Kuat jiwa. Tidak mudah putus asa atau kecewa
- Yakin diri
- Ada cita-cita untuk bangsanya, sama ada cita-cita itu pada pemimpin, pada orang besarnya atau pada rakyatnya.
Di samping sifat-sifat di atas, ada lagi sifat-sifat positif yang sangat meneguhkan dan menguatkan peribadi mereka. Ini termasuklah sifat-sifat:
1. Berdisiplin
2. Sabar
1. Berdisiplin
2. Sabar
Agungnya peribadi itu pula dapat dilihat pada:
- Akhlaknya
- Imannya
- Keyakinannya
- Disiplin hidupnya
- Kebersihan hatinya
- Jauhnya mereka daripada melakukan maksiat dan dosa
- Kemas syariatnya
Bukan mudah untuk mengubah bangsa yang lemah dan mundur supaya menjadi bangsa yang kuat dan agung. Segala ciri dan sifat-sifat mereka itu perlu diubah. Sifat pemalas mesti diubah menjadi rajin. Jiwa yang kecil mesti diubah menjadi jiwa yang besar. Sifat suka meminta-minta dan sentiasa mengharapkan bantuan dan subsidi, mesti dikikis dan dibuang. Mesti ditanam dengan sifat berdikari. Jiwa yang lemah mesti dikuatkan. Tidak boleh mudah kecewa dan berputus asa. Sifat penakut mesti ditukar kepada sifat berani. Mereka mesti kuat keyakinan. Cita-cita bangsa perlu ditanam di dalam hati sanubari setiap anak bangsa. Sifat suka mementingkan diri dan bekerja hanya untuk kesenangan diri sendiri mesti dihapuskan. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri (hati atau jiwa) mereka." (Ar Ra'd: 11)
Label:
Kekuatan Bangsa,
Sembahyang
Thursday, January 27, 2011
Selawat Badawi
Cahaya sebagai sumber segala cahaya
Rahsia segala rahsia
Ubat seluruh penyakit
anak kunci segala kejayaan
Dialah Pemimpin yang kami rindu
Nabi Muhammad yang terpilih
Keluarganya yang suci
Serta para sahabat yang menjadi pilihan
Sebanyak bilangan NikmatMu dan KemuliaanMu Ya Allah.
Label:
Selawat
Sunday, November 28, 2010
Kenangkanlah Dosa-dosa

Kenangkanlah dosa-dosa yang lalu dan mohon ampun kepada Tuhan, Kerana Tuhan tidak melupakannya. Awas, janganlah membuat dosa di masa depan, Kerana di waktu ini kita mungkin hampir kepada Tuhan.
Label:
Madah
Friday, October 15, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)


